Tok Mat dijangka menang mudah

Mohamad. - Foto Sinar Harian ADAM AMIR HAMZAH
Mohamad. - Foto Sinar Harian ADAM AMIR HAMZAH
A
A
A

SEREMBAN - BN dijangka dapat mempertahankan kerusi DUN Rantau dengan kemenangan lebih selesa pada PRK yang akan diadakan esok.

Menurut kajian yang dilakukan firma penyelidikan bebas, ILHAM Centre, faktor calon, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat menjadi penyumbang kemenangan kepada parti itu.

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Azlan Zainal berkata, berdasarkan kajian secara tatap muka melibatkan 396 responden yang merupakan pengundi DUN itu mendapati Tok Mat ternyata unggul dan diterima semua segmen pengundi termasuk India dan Cina.

Katanya, trek rekod Tok Mat sebagai bekas menteri besar dan ADUN Rantau selama tiga penggal serta merupakan anak tempatan memberi kelebihan besar dalam kempen PRK kali ini.

"Dapatan menunjukkan seramai 87.4 peratus responden bersetuju dengan faktor ini, di mana pendekatan beliau yang mudah mesra, kerap turun padang bertemu rakyat, merendah diri dan prihatin dengan kebajikan rakyat menambat hati pengundi di sini.

"Responden juga bersetuju bahawa Tok Mat mempunyai kredibiliti yang lebih tinggi sebanyak 81.6 peratus berbanding calon PH, Dr S Streram 17.7 peratus dan lain-lain calon," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, Streram yang dianggap sebagai bukan anak tempatan, juga tidak dikenali oleh kebanyakan penduduk DUN Rantau.

Selain itu, beberapa faktor lain seperti berlaku peralihan undi kepada BN, undi India terpecah dua dan kegagalan jentera PH mendekati pengundi Melayu turut memberi kelebihan besar buat Timbalan Presiden UMNO itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, persaingan saat akhir masih lagi terbuka namun ia tetap dilihat menjadi laluan getir buat PH.

"Kemenangan BN seolah telah terjamin dalam PRK ini dan untuk membolehkan PH kekal bersaing mereka memerlukan strategi ampuh bagi mengekang kemaraan BN," katanya.

Terdahulu, PRK DUN Rantau menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan Mohamad, Streram dan dua calon Bebas, R Malar dan Mohd Nor Yassin

Demografi Rantau menunjukkan pengundi Melayu mempunyai 53 peratus, India 27 peratus, Cina 19 peratus dan lain-lain 1 peratus meliputi 14 pusat daerah mengundi (PDM)

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!