PRU15: Calon BN isytihar harta selepas jadi ahli Parlimen

Mohamad beramah mesra dengan peniaga di kawasan Taman Anggerik.
Mohamad beramah mesra dengan peniaga di kawasan Taman Anggerik.
A
A
A

SEREMBAN - Calon BN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya akan mengisytiharkan harta mereka selepas dilantik sebagai anggota kabinet.

Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia selaras dengan amalan parti itu yang akan membuat pengisytiharan harta selepas kerajaan dibentuk.

"Kalau PKR nak buat, itu dia punya pasal. Kita (BN) isytihar harta selepas menjadi ahli Parlimen.

"Itu memang sudah jadi kemestian yang dibuat setiap tahun. Saya belum lagi jadi ahli Parlimen, jadi tak perlulah," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui berkempen di Taman Anggerik di Senawang di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu Mohamad yang merupakan calon Parlimen Rembau turut menyelar kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir yang mengeluarkan hukum undi BN dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka dalam kempennya baru-baru ini.

Katanya, tiada sesiapa yang boleh menentukan syurga dan neraka seseorang melainkan Allah.

"Bagi saya syurga dan neraka itu urusan Allah. Tapi kalau pemimpin Pas boleh kata orang itu boleh masuk syurga atau neraka, bagi saya Pas telah dapat satu syafaat yang besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, tular video berdurasi 28 saat Mohd Shahiful yang memberikan hukum masuk neraka sekiranya rakyat mengundi PH dan BN.

Bagaimanapun, Mohd Shahiful pada hari ini, dalam kenyataannya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu 'undi BN dan PH masuk neraka'.

Permohonan maaf itu dibuat melalui satu video yang disiarkan di Facebook Pemuda Pas Sik.

Dalam video berdurasi 34 saat itu beliau turut memohon untuk dihentikan segala bentuk sebaran video itu bagi menjamin keharmonian dan persaingan PRU15.







Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!