PRU15: Wartawan diugut dan dikasari, polis tahan dua lelaki
SEREMBAN - Sekumpulan wartawan yang membuat liputan kempen seorang calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sebuah restoran di Seremban Jaya diugut dan dikasari oleh dua lelaki dipercayai mabuk supaya tidak membuat liputan media di situ.
Dalam kejadian lebih kurang jam 7 petang Jumaat, salah seorang wartawan berkenaan ditolak, dibaling gelas, botol arak dan kasut.
Calon BN Parlimen Rasah, Ng Kian Nam berkata, ketika kejadian beliau bersama beberapa sukarelawan, pembantunya dan petugas media masuk ke restoran terbabit dan mengedarkan risalah dari meja ke meja.
Katanya, sambutan daripada pelanggan lain tidak ada masalah dan mereka memberikan kerjasama.
"Tetapi sebaik tiba di salah satu meja, ada sekumpulan lelaki menunjukkan rasa tidak puas hati dan menyuruh kami beredar, malah wartawan yang sedang bertugas juga dimarahi sebelum berlaku insiden ditolak,membaling gelas dan kasut.
"Keganasan terhadap wartawan sepatutnya tidak berlaku dan calon daripada mana-mana parti juga bebas untuk menjalankan kempen selagi ia mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Komisioner Ahmad Dzaffir Yusoff berkata, bertindak atas laporan yang diterima pada jam 11.50 malam hari sama, dua lelaki telah ditahan di Taman Seremban Selatan.
"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir turut menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama kepada wakil-wakil parti yang berkempen serta media yang membuat liputan pada PRU15.
"Ia bagi memastikan suasana pilihan raya berjalan dengan lancar dan keadaan harmoni. Tindakan tegas dan tanpa kompromi akan diambil ke atas mereka yang sengaja memecah keamanan dan ketenraman awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!