PRU15: PH mungkin menangi 80 kerusi di Semenanjung Malaysia
ISKANDAR PUTERI - Pakatan Harapan (PH), berkemungkinan besar memenangi 80 kerusi daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung pada PRU15.
Menurut Pengerusi DAP Johor yang juga calon Iskandar Puteri, Liew Chin Tong, kemungkinan itu dibuat berdasarkan kepada situasi semasa selepas tempoh seminggu berkempen.
"Selepas seminggu berkempen, kelihatan PH mungkin dapat peroleh 80 kerusi parlimen dan berdasarkan kepada keadaan yang tidak menentu, apakah BN masih ada 50 kerusi atau kurang daripada itu kerana pada PRU yang lalu, PH menang 98 kerusi di Semenanjung, BN (49) dan Pas (18).
"Oleh itu, secara umum ramai yang buat analisis, BN mungkin kekal atau kurang daripada 50 kerusi kali ini dan kalau PH akhirnya peroleh 95 kerusi di Semenanjung, ada kemungkinan PH boleh mentadbir dengan simple majority dan menubuhkan kerajaan secara bersendirian berbanding BN.
"Oleh itu, dalam tempoh seminggu akan datang, PH perlu yakinkan bahawa PH merupakan gabungan politik besar yang mempunyai peluang besar untuk tubuhkan kerajaan," katanya pada Sabtu.
Chin Tong berkata demikian pada sidang media ketika berkempen di sekitar Iskandar Puteri pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.
Sementara itu, Gobind turut mengajak rakyat untuk keluar mengundi beramai-ramai pada 19 November kelak bagi memastikan PH mampu memenangi kerusi yang diharapkan.
"Berdasarkan situasi semasa kita tahu rakyat mahukan satu kerajaan yang stabil tidak mahu wujud ketidaktentuan dalam kalangan pemimpin selain mempunyai hala tuju dalam tempoh lima tahun.
"Tetapi untuk pastikan itu berlaku, kena pastikan ramai keluar mengundi nanti," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!