PRU15: BN terima gelombang sokongan pengundi Cina, India
IPOH - Gelombang sokongan khususnya daripada pengundi Cina dan India yang diterima Barisan Nasional (BN) ketika ini amat baik.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan tersebut diperoleh kerana mereka terkesan dengan pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, melihat kepada gelombang itu, seluruh jentera parti digesa menggandakan usaha dalam masa seminggu untuk terus memastikan momentum sokongan berkenaan berterusan.
"Saya amat teruja dalam lawatan saya ke beberapa kawasan Parlimen yang ditandingi oleh calon-calon BN. Kita dapati bahawa pengundi-pengundi Cina telah mengorak satu gelombang baharu ke arah memberikan dukungan kepada BN kerana mereka telah serik selama 22 bulan di bawah PH dan 17 bulan di bawah PN.
"Begitu juga pengundi-pengundi masyarakat India juga telah memperlihatkan satu perkembangan yang baik. Sokongan pengundi-pengundi India meningkat.
"Mungkin setakat ini telah menghampiri kira-kira 45 peratus dan ini merupakan satu gelombang baharu atas kegagalan dua kerajaan terdahulu di dalam PRU14," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Balik Bagan Datuk Jom Balik Mengundi di Jeti Waterfront Bagan Datuk di sini pada Sabtu.
Ahmad Zahid berkata, semua bilik gerakan utama di negeri dan pusat daerah mengundi (PDM) sudah diarahkan untuk melipatgandakan usaha meraih undi melalui gerak kerja dari pintu ke pintu.
Menurutnya, BN sedang berusaha untuk memastikan kawasan hitam iaitu tidak memberikan sokongan kepada BN dan kelabu iaitu kawasan yang hanya sebahagian memberi undi kepada parti itu ditukarkan kepada kawasan kelabu dan putih.
"Untuk tambahan, mereka yang ada dalam kategori kelabu-putih, sama ada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, Orang Asli, kita telah lakukan tindakan-tindakan berfokus agar kesengsaraan, penderitaan yang dialami dalam PRU14 itu sesuatu yang harus dilupakan. Masing-masing mengalami penyesalan dan kini mereka mahu mendukung semula BN bagi membentuk kerajaan.
"Tempoh yang berbaki ini walaupun amat singkat, usaha-usaha secara berfokus sedang dilakukan oleh semua jentera kita di setiap peringkat," katanya.
Mengenai sokongan pengundi muda, Ahmad Zahid menjelaskan, kesedaran golongan itu ketika ini amat baik dan tinggi berbanding ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.
Katanya, menerusi kajian yang dibuat parti itu memperlihatkan lebih daripada 80 peratus pengundi muda telah memilih kepada 'establishment' ertinya kepada BN dan trend inilah yang mahu dikekalkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!