PRU15: Mas Ermieyati berdepan laluan sukar
ALOR GAJAH - Meskipun menang selesa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mewakili Barisan Nasional (BN), namun penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang kini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) berdepan laluan sukar dan mencabar untuk mengekalkan kerusi itu pada PRU15.
Berentap buat kali ketiga di kawasan Parlimen yang dianggap kubu kuat BN, nyata kemenangan dengan majoriti 8,159 undi yang diraih atas tiket BN dahulu tidak boleh dijadikan kayu pengukur.
Berdepan saingan empat penjuru di kerusi Parlimen itu yang turut ditandingi Abdul Hakim Abdul Wahid (BN), Mutalib Uthman (Pakatan Harapan) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang), imej Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu sedikit 'tercalar' dengan kekalahan yang dialaminya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lepas.
Bagi Abdul Hakim, 37, yang pertama kali bertanding dalam PRU, percaya bahawa peluang sama terbentang buat semua calon, termasuklah Mas Ermieyati dalam usahanya menembus sekali lagi kubu kuat BN itu dan percaya perspektif masyarakat di Parlimen itu juga sudah berubah.
Abdul Hakim berkata, ini kerana terdapat penambahan sebanyak 33.36 peratus pengundi kepada 69,174 pemilih pada pemilihan kali ini berbanding 51,441 pada PRU14.
"Malah kekalahannya tempoh hari juga saya tidak nampak sebagai satu kelebihan kepada calon lain termasuk saya kerana masing-masing ada kekuatan tersendiri," katanya yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Melaka.
Handrawirawan pula berpandangan kekalahan Mas Ermieyati di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada PRN Melaka lepas tetap akan menjadi kayu pengukur buat penduduk untuk membuat keputusan pada PRU15 ini walaupun beliau tewas tipis dengan majoriti hanya 364 undi.
Katanya, seharusnya 'pasak' yang ditanam Mas Ermieyati sebagai ahli Parlimen selama 10 tahun sudah kuat namun keputusan tindakan beralih naungan bendera parti pastinya akan memberi impak kepadanya pada PRU15.
"Memang tugasnya untuk mengekalkan kemenangan sangat berat walaupun kami calon muka baharu di sini (Masjid Tanah). Jika dinilai berdasarkan individualiti, kami juga pada tahap yang sama malah mungkin lebih lagi, memandangkan saya misalnya banyak terlibat dalam aktiviti badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati yang pernah dinamakan sebagai bakal Ketua Menteri Melaka bagi PN pada PRN Melaka mengakui Masjid Tanah adalah kubu kuat BN dan faham bukan mudah baginya mengekalkan kemenangan diraih sebelum ini.
Namun, apabila diberi mandat sekali lagi, apa yang dapat 'dijual' kepada masyarakat Masjid Tanah adalah ‘rekod prestasi’ selama dua penggal dan berharap pengundi boleh menilai sejauh mana pencapaiannya dalam menyantuni masyarakat Masjid Tanah.
"Berpengalaman, muda atau baharu malah ada yang lihat pada jantina tapi lebih bagus sekiranya kami (calon) dilihat atas hasil kerja yang dilakukan dan saya yakin semua pengundi di Masjid Tanah sangat matang dalam membuat penilaian," katanya yang menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah sejak 2013. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!