PRU15: Anwar boleh lapor, bawa bukti untuk polis siasat

Hamzah (tengah) ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini pada Sabtu.
Hamzah (tengah) ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini pada Sabtu.
A
A
A

LARUT - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta membuat laporan polis berhubung dakwaan anggota tentera yang mengundi pos di Parlimen Bera dibayar RM300.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, laporan itu bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan lanjut sekali gus membersihkan nama dan imej pasukan keselamatan yang tercalar akibat dakwaan itu.

"Kalau betul mereka ini dibayar, ada bukti mereka ini dibayar, kita minta supaya Anwar membuat laporan polis kerana undang-undang negara kita bila ada laporan polis kita akan buat siasatan secara mendalam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini pada Sabtu.

Hamzah (kanan) menyantuni pegawai dan anggota IPD Selama.
Hamzah (kanan) menyantuni pegawai dan anggota IPD Selama.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu memberi jaminan, siasatan secara adil dan saksama akan dilakukan meskipun dakwaan itu melibatkan kawasan ditandingi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Siasatan secara adil tidak kiralah di mana sekalipun dakwaan itu, walaupun di Bera sekalipun atau calon itu melibatkan perdana menteri.

"Maka sebab itu kalau dia betul-betul yakin ada, tunjukkan bukti dan insya-ALLAH kita akan ambil tindakan mengikut perundangan yang ada dalam negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Anwar dalam satu majlis di Kuala Nerus, Terengganu mendakwa anggota tentera di Bera yang terlibat dalam pengundian awal iaitu undi pos telah dibayar RM300.

Anwar turut mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.







Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!