Terima tempahan 400 burger sempena aksi Piala Malaysia
KUALA TERENGGANU - Peniaga burger menerima 400 biji tempahan sempena perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia yang mempertemukan Terengganu FC (TFC) dan KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Kuala Nerus pada malam Sabtu.
Muhammad Badrul Amin Muhamad Rapingi, 22, berkata, tempahan sebanyak itu jarang diterima melainkan ketika perlawanan besar melibatkan kehadiran ramai penyokong.
"Jualan burger hari ini ada peningkatan kerana ia diadakan sempena perlawanan suku akhir Piala Malaysia malam ini dan ia akan disiapkan dalam tempoh dua jam menggunakan dua dapur.
"Kita jangka hari ini sahaja sehingga jam 12.30 tengah malam, kita akan menerima sehingga 900 biji tempahan burger termasuk mereka yang datang secara terus ke gerai burger di Jalan Jalan Budiman, di Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut Muhammad Badrul Amin, tempahan burger bergantung kepada perlawanan di mana jumlahnya akan meningkat pada perlawanan-perlawanan besar.
"Kalau 'game' biasa, ada juga berlaku peningkatan jualan namun tidak begitu ketara seperti tempahan yang diterima pada perlawanan suku akhir yang akan berlangsung malam ini (Sabtu).
"Hari ini penyediaan bahan untuk jualan dibuat lebih awal bermula jam 11.30 pagi hingga 1.30 petang supaya tempahan untuk penonton di stadium boleh disiapkan untuk dinikmati ketika perlawanan,"katanya yang mempunyai seramai sembilan pekerja.
Burger RM2 yang dijual Muhammad Badrul Amin sejak 2019 dikenali ramai kerana masih mengekalkan keaslian rasa burger yang dihasilkan oleh generasi terdahulu.
Jelas anak muda itu, resipi asal burger yang diperoleh dari 'orang lama' itu membangkitkan aroma istimewa dan berjaya memikat cita rasa pelanggan.
"Setakat ini burger telur (benjo) masih mengekalkan harga RM2 walaupun harga telur telah naik.
"Harga bagi burger lain bermula dari RM2.50. Mahu tidak mahu kita terpaksa juga naikkan harga kerana harga bahan mentah naik dan kita tak mampu lagi bertahan dengan harga sama," katanya.
Harga bagi burger ayam (RM2.50), daging (RM2.50), kahwin (daging dan ayam) RM3.50, double daging (RM3.50), double ayam (RM3.50), ayam special (RM3), daging special (RM3), daging double special (RM4.50) dan ayam double special (RM4.50).
Gerai burger tersebut beroperasi bermula jam 6 petang hingga 12.30 tengah malam pada setiap Sabtu hingga Rabu manakala pada Khamis beroperasi jam 6 petang hingga 10 malam dan tidak beroperasi pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!