Bot cuba seludup 6,000 liter minyak diesel ditahan

Anggota Maritim Negeri Kedah dan Perlis melakukan pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan enam batu nautika barat Tanjung Chincin pada Jumaat.
Anggota Maritim Negeri Kedah dan Perlis melakukan pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan enam batu nautika barat Tanjung Chincin pada Jumaat.
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama empat lelaki tempatan selepas dipercayai cuba menyeludup 6,000 liter minyak diesel di kedudukan enam batu nautika barat Tanjung Chincin pada Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot nelayan tempatan terbabit ditahan jam 11.50 malam ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh Kapal Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Langkawi.

Beliau memberitahu, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang asing yang dibuat di bawah rumah bot dan ditutupi dengan kayu papan lapis.

"Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua kotak minyak yang telah diubahsuai menjadi tong minyak tambahan dan mengesyaki bot nelayan ini terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi.

"Minyak tambahan yang dibawa dianggarkan kasar tambahan sebanyak 6,000 liter dengan nilai hampir RM13,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Romli berkata, keempat-empat lelaki berkenaan yang berumur lingkungan 19 hingga 59 tahun itu kemudiannya ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961 iaitu memilik barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!