Bersih puji manifesto pro-demokrasi empat gabungan politik

Tangkap layar siaran media Bersih
Tangkap layar siaran media Bersih
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memuji manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh empat gabungan terbesar politik di negara ini yang bersifat pro-demokrasi.

Menurut Jawatankuasa Pemandu Bersih, manifesto itu melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

"Walaupun tidak sepenuhnya komprehensif sebagaimana tuntutan Bersih namun janji untuk memperkasakan, mengembalikan keyakinan dan menyediakan ketelusan terhadap institusi awam adalah suatu kemajuan yang dialu-alukan.

"Secara khususnya pemisahan fungsi pendakwa raya daripada Peguam Negara telah menjadi tuntutan utama Bersih dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) lain sejak sekian lama bagi menghapuskan keraguan terhadap pendakwaan terpilih serta kekebalan daripada pendakwaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, Bersih turut senang dengan tindakan PH dan BN secara khusus menjanjikan pemisahan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya manakala janji GTA agak kabur serta PN tidak memberikan iltizam mereka terhadap isu berkenaan.

"Satu lagi 'game changer' adalah janji memperkasakan Parlimen untuk meneliti pelantikan jawatan utama kerajaan seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Gabenor Bank Negara.

"Ini adalah langkah baik daripada BN, PH dan GTA untuk memperkasakan peranan parlimen dan mengurangkan kuasa di tangan eksekutif terutama Perdana Menteri. Sekali lagi, PN membisu terhadap reformasi ini," ujarnya.

Tambah Bersih, kesemua gabungan berjanji untuk memperkenalkan undang-undang pembiayaan politik dengan tiga daripadanya iaitu BN, PH dan GTA mengkhususkan iltizam untuk menggubal Akta Pembiayaan Politik manakala PN hanya berjanji untuk melarang sumbangan asing kepada parti politik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Bersih berkata, pihaknya yakin bahawa manifesto adalah dokumen polisi yang utama bagi menunjukkan visi parti atau gabungan untuk mentadbir negara.

"Pengundi perlu membuat keputusan berasaskan maklumat tentang setiap manifesto oleh gabungan politik.

"Bersih juga yakin bahawa manifesto adalah ruang penting untuk orang ramai menyertai dan menyumbangkan idea mereka terhadap wacana politik dan polisi.

"Dengan kemasukan beberapa reformasi yang pro-demokrasi oleh gabungan yang berbeza, Bersih percaya ini adalah pengesahan terhadap usaha CSO yang berunding dengan penggubal undang-undang dan pemimpin utama dalam pelbagai gabungan untuk melobi pembaikan demokrasi pelbagai parti di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Bersih turut memuji pembuat manifesto yang mengutamakan kemasukan reformasi institusi dalam manifesto mereka.

"Ini adalah satu langkah ke arah yang betul terhadap 'persaingan parti yang diprogramkan' di mana gabungan-gabungan bersaing berdasarkan polisi dan program bukan retorik kaum dan agama yang berbahaya.

"Reformasi institusi diperlukan untuk mencapai reformasi jangka panjang yang mapan serta menyediakan semak dan imbang yang berkesan terhadap demokrasi negara," ujarnya.

Jelas jawatankuasa itu, Bersih akan terus memainkan peranannya untuk memastikan kebertanggunjawaban gabungan itu terhadap janji-janji reformasi mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!