Tiada kebenaran diberikan kepada Fahmi Reza: USM
GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) menafikan telah menganjurkan program yang melibatkan pereka grafik dan aktivis, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin di institusi tersebut.
Sumber berkata, tiada permohonan daripada mana-mana pihak termasuk Mohd Fahmi sendiri berhubung program yang dinamakan sebagai Kelas Demokrasi Fahmi Reza @ USM itu.
"Pihak Jabatan Keselamatan USM dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USM juga mengesahkan tiada permohonan untuk mengadakan program seperti yang ditularkan.
"Sehubungan itu, apabila menyedari kehadiran Mohd Fahmi di dalam kawasan USM, kita telah memintanya beredar dan menjalankan program yang dirancang di luar kawasan kampus.
"Mohd Fahmi memberi kerjasama yang baik dan telah beredar seperti yang diminta. Program yang dirancang tidak berlaku di sini (USM)," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sebelum itu, Mohd Fahmi di Twitternya telah membuat hantaran sebuah poster bertulis Kelas Demokrasi Fahmi Reza @ USM dengan menyatakan lokasi kelas tersebut di Kafe Desa Indah Kembara, USM.
Kelas tersebut dijadualkan akan berlangsung selama dua jam iaitu bermula jam 9 hingga 11 malam.
Di poster tersebut yang memaparkan dua tangan bersalaman itu turut tertera perkataan 'Hidup Mahasiswa Hidup Rakyat'.
Mohd Fahmi turut menulis kapsyen #KelasDemokrasi @ USM, 9.00 malam, Cafe Desa Indah Kembara USM. Jumpa nanti!
Sehingga kini, tiada kemaskini daripada Mohd Fahmi mengenai programnya itu sama ada ia dibatalkan atau lokasinya telah ditukar.
Sebelum ini, Mohd Fahmi sering mencetuskan kontroversi dan terbaru, pada April lalu, beliau telah melakar satira yang dipercayai bertujuan menghina institusi diraja.
Hantaran itu telah mencetus pelbagai persepsi terutama pengguna media sosial.
#KelasDemokrasi @ USM, 9:00 malam, Cafe Desa Indah Kembara USM. Jumpa nanti! pic.twitter.com/k8kdixokPs
— Fahmi Reza (@kuasasiswa) November 12, 2022
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!