PRU15: Pengundi Cina tak percaya cerita Anwar - Mohd Rashid
BATU PAHAT - Calon Perikatan Nasional (PN) Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, pengundi Cina di kawasan Parlimen di sini tidak percaya dengan tuduhan yang dilemparkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung drama air mata mengenai jawatan Timbalan Speaker membabitkan dirinya.
Malah, beliau berkata, pengundi-pengundi Cina di Batu Pahat juga meluat dengan kempen yang menggunakan kaedah menghentam peribadi individu.
Menurutnya, rata-rata pengundi Cina di Parlimen ini kenal diri beliau selepas empat tahun menjadi wakil rakyat di sini.
"Ada yang bertanya, (peniaga) Cina kedai buah-buahan dia kata, datuk saya bila dengar Anwar cakap macam itu saya meluat. Itulah perspektif masyarakat Cina," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Santai Anak Muda Johor bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Terbuka di Taman Seri Penggaram di sini pada Sabtu.
Mohd Rashid turut menyifatkan, kempen yang dijaja oleh Anwar mengenai dirinya itu sebagai cerita dongeng.
Kelmarin, media melaporkan Anwar mendakwa Mohd Rashid pernah menangis dan merayu kepadanya untuk mendapatkan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika berada dalam kerajaan PH.
Perkara itu diucapkan oleh Anwar ketika berceramah di tapak pasar malam Bukit Pasir, di sini.
Bagaimanapun pada Jumaat, Rashid menegaskan tidak wujud drama sebagaimana yang didakwa oleh Anwar.
Katanya, pemilihan beliau ke jawatan itu dibuat berdasarkan undian setelah dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!