Jangan sisih bakat tempatan
SEJAK dua musim lalu, Petaling Jaya (PJ) City FC terkenal dengan DNA ‘Yakini Lokal’ apabila mempertaruhkan sepenuhnya barisan pemain tempatan dalam saingan Liga Super.
Namun, semua itu berakhir apabila PJ City membuat keputusan menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga-M) atas sebab sukar untuk menyesuaikan diri dengan senario baharu kancah liga bola sepak tempatan.
Dengan perubahan yang akan berlaku dalam aksi Liga Super musim depan termasuk semua kelab boleh menandatangani sembilan pemain import, PJ City nyata sukar untuk memberikan cabaran lebih kompetitif.
Biarpun mengakui kecewa dengan apa yang berlaku, pengendali PJ City, P Maniam tetap berharap masih ada kelab Liga-M yang dapat mengguna pakai pendekatan skuad The Phoenix itu.
“Pendekatan ‘Yakini Lokal’ ini baik diteruskan oleh pasukan-pasukan yang mempunyai bajet terhad. Kalau tidak pakai semua pemain tempatan pun tidak apa tetapi sekurang-kurangnya bagi minit permainan yang lebih kepada mereka.
“Ini kerana saya berpandangan pemain-pemain tempatan sebenarnya memiliki potensi yang besar, cuma mereka tidak diberi peluang dan ruang untuk pamerkan bakat sebenar.
“Kita boleh lihat sendiri apa yang jadi kepada Darren Lok, Kalamullah (Al-Hafiz) dan V Ruventhiran jika dapat minit permainan. Mereka bukan sekadar mampu beraksi baik, malah dipilih mewakili skuad kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
PJ City muncul satu-satunya kelab 100 peratus menggunakan barisan pemain tempatan yang menyaksikan mereka mengakhiri saingan Liga Super musim ini di tangga kesembilan.
Musim lalu, anak-anak buah Maniam menduduki tangga ketujuh, satu pencapaian yang dianggap cukup membanggakan walaupun kali pertama beraksi tanpa khidmat tonggak import.
“Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku. PJ City telah menjadi platform kepada pemain-pemain tempatan untuk bermain dalam kesebelasan utama.
“Walaupun tanpa pemain import, kami masih mampu kekal dalam Liga Super. Apa pun saya berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana beri peluang kepada kami untuk bersaing dalam Liga Super,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!