PRU15: Anifah hadir program Anwar, dedah tawaran Zahid

Anifah berucap pada program Kebangkitan Rakyat Sepanggar Pakatan Harapan (PH) yang dihadiri Anwar di Sepanggar.
Anifah berucap pada program Kebangkitan Rakyat Sepanggar Pakatan Harapan (PH) yang dihadiri Anwar di Sepanggar.
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dilihat hadir pada program Kebangkitan Rakyat Sepanggar Pakatan Harapan (PH) yang dihadiri Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sepanggar pada malam Sabtu.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu turut berucap pada majlis berkenaan dan memaklumkan membantu calon-calon daripada PH.

"Saya presiden parti yang kecil tapi saya mahu bersuara demi anak-anak kita anak Sabah dan kenapa saya tidak bertanding oleh kerana saya mahu bersama Datuk Seri Anwar dan membantu calon-calon Harapan.

"Inilah peluang terakhir kita untuk menentukan siapa yang menang, keadaan politik sekarang kita memerlukan satu pemimpin yang boleh menangani masalah kemelesetan ekonomi, tiada lain tiada bukan ialah mantan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mendakwa ditawarkan jawatan sebagai lantikan Senator oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ganjaran tidak bertanding di Parlimen Kimanis.

"Saya diminta di kawasan saya di Kimanis bahawa Presiden UMNO menjanjikan saya supaya jangan bertanding, membantu calon-calon BN dan dia akan bagi saya jawatan Menteri Luar dan lantik Senator.

"Saya kata, itu bukan apa yang saya kehendaki, apa yang saya kehendaki lunaskan apa-apa yang termaktub dalam perlembagaan dan juga MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), itu perjuangan saya," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu memaklumkan bahawa perjuangannya itu sudah dilakukan sejak dulu lagi walaupun sehingga diberi surat amaran namun ia penting untuk direalisasikan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengembalian hasil 40 peratus kepada Sabah akan memberi peluang kepada rakyat termasuk peluang pekerjaan dan industri kecil di negeri ini.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata mahu Sepanggar ditukar kepada 'gunung harapan' melalui calonnya, Mustapha Sakmud sekali gus untuk memastikan PH berjaya membentuk kerajaan.

"Sepanggar mesti kita tukar menjadi gunung harapan kerana kali ini pilihan raya kita pasti tawan Putrajaya, cukup dengan orang politik kayakan diri mereka.

"Cukup dengan tipu helah, cukup dengan skandal, cukup beli kapal, kapal tak siap, cukup beli helikopter, helikopter tak sampai, cukup guna duit Felda tipu rakyat, sebut saja agensi sama ada Bumiputera, negara atau negeri, memang ada songlap," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!