Ganjaran berangkat awal ke masjid untuk solat Jumaat

Datanglah awal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. -GAMBAR HIASAN.
Datanglah awal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

"SUDAH hendak masuk waktu solat Jumaat ini. Kejap lagilah aku ke masjid. Hendak siapkan kerja lagi sikit. Lagipun, kalau tak sempat dengar khutbah pun sah lagi solat aku."

Barangkali, ada yang memandang remeh waktu solat Jumaat kerana alasan klise iaitu mahu melunaskan kerja.

Hanya empunya badan sahaja yang ada jawapannya.

Namun, sebenarnya, ada banyak ganjaran yang ALLAH SWT tawarkan kepada kaum Adam ini tatkala tibanya hari Jumaat iaitu penghulu segala hari.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa mandi pada hari Jumaat, berangkat lebih awal (ke masjid), berjalan kaki dan tidak berkenderaan, berdekatan imam dan mendengar khutbahnya serta tidak berbuat 'lagha' (sia-sia), maka setiap dari langkah yang ditempuhnya dia akan mendapatkan pahala puasa dan qiamullail setahun." (Riwayat Abu Dawud)

Lihat betapa besarnya ganjaran yang ditawarkan ALLAH SWT.

Malangnya, ramai yang membiarkan tawaran itu berlalu begitu sahaja.

Namun, jangan kita lupa. ALLAH SWT tahu niat sebenar kita yang melambat-lambatkan perjalanan untuk solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, datang awal ke masjid akan membuatkan kita tenang untuk memilih mana-mana saf, selain dapat meluangkan masa untuk berzikir, membaca al-Quran dan berpeluang mendengar khutbah dengan jelas.

Apa pun, pilihan terletak pada diri masing-masing.

Tanya pada diri kita, mahu pahala penuh ke pahala separuh?

Jika mahu pahala penuh, marilah sama-sama kita ubah sikap kita dan datang awal ke masjid untuk solat Jumaat.

Mudah-mudahan kita terus istiqamah.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!