Cubaan seludup daging lembu sejuk beku dari Brazil gagal

Pegawai Maqis sedang melakukan pemeriksaan pada kontena yang membawa muatan daging lembu sejuk beku dari Brazil.
Pegawai Maqis sedang melakukan pemeriksaan pada kontena yang membawa muatan daging lembu sejuk beku dari Brazil.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 120 kotak produk lembu sejuk beku yang diimport dari Brazil di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini pada Khamis lalu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan dagangan yang diimport adalah bahagian lembu seperti ekor lembu sejuk beku (frozen ox offal tail) yang dianggarkan bernilai RM76,000.

Menurutnya, kesemua dagangan tersebut ditahan oleh pihak Maqis selepas mendapati penggunaan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan.

Kes akan di siasat pada Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Ahad.

Muhammad Ikram berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan Kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!