PRU15: Pengundi Parlimen Arau dah ada calon pilihan

Gambar dari kiri: Shahidan, Rozabil
Gambar dari kiri: Shahidan, Rozabil
A
A
A

ARAU - Pengundi melihat dua parti mendominasi kawasan Parlimen Arau membabitkan persaingan antara calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Rozabil Abdul Rahman (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam tinjauan Sinar Harian, keputusan Shahidan bertanding atas tiket PN pada PRU15 selepas lapan penggal mewakili BN turut mempengaruhi keputusan pengundi untuk memangkah parti mana 19 November ini.

Bagi suri rumah, Zaini Hashim, 55, dia mahu memberi peluang kepada wakil rakyat muda untuk membawa pembaharuan dalam kawasan Parlimen Arau.

“Shahidan bagus sepanjang menjadi wakil rakyat di sini tapi apabila dia menukar parti, saya tidak boleh ikut beliau lagi. Kami sudah berbeza parti.

“Saya mahu memberi peluang kepada calon muka baharu dan berharap wakil rakyat dipilih dapat membawa perubahan, pembangunan dan menjaga kebajikan penduduk di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Kerusi Parlimen Arau yang berdepan perlawanan tiga penjuru turut ditandingi calon muda PH, Fathin Amelina Fauzi selain Shahidan dan Rozabil.

Bagi pengundi pertama kali pula, Anis Syafiqah Azrul, 23, dia tertarik dengan tawaran manifesto PN Perlis namun belum membuat keputusan untuk undi parti mana lagi pada PRU15 ini.

Artikel Berkaitan:

Anis Syafiqah Azrul, Zaini Hashim dan Saiful Hazrie Salleh
Anis Syafiqah Azrul, Zaini Hashim dan Saiful Hazrie Salleh

“Setakat ini, saya tertarik dengan manifesto PN di peringkat negeri ini yang dilihat dekat dengan keperluan rakyat. Tapi saya belum putuskan lagi nak undi parti mana sebab BN atau PH (Pakatan Harapan) tidak mengeluarkan manifesto mereka lagi,” ujarnya.

Sementara itu, pesawah, Saiful Hazrie Salleh, 47, dia tidak berani untuk memberi peluang kepada calon muka baharu jadi memilih atas dasar pengalaman.

“Saya sudah mempunyai pilihan untuk undi siapa pada 19 November depan. Bukan soal parti tetapi calon kerana sejak dulu saya menilai dan memilih siapa yang akan bertanding dalam Parlimen Arau. Kali ini, saya pilih orang lama kerana beliau lebih berpengalaman,” ujarnya.

Menurut E Krem, 55, soal calon tidak menjadi masalah kerana dia sudah memutuskan parti mana yang mahu dipangkah pada 19 November depan.

“Cuma hasrat saya supaya wakil rakyat yang terpilih akan terus menjaga kebajikan masyarakat Siam di Perlis khususnya di Parlimen Arau.

“Isu infrastruktur seperti masalah jalan pintasan ke ‘flyover’, membersihkan kawasan semak tepi jalan-jalan kampung dan sistem pengairan dalam sawah antara isu yang harap dapat diselesaikan segera,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!