PRU15: SPR digesa tanggung kos kertas undi pos luar negara

Tangkap layar kenyataan Biro Mahasiswa Muda pada Ahad.
Tangkap layar kenyataan Biro Mahasiswa Muda pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menanggung segala kos logistik proses menghantar dan memulangkan kertas undi pos rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Biro Mahasiswa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, Kedutaan Besar Malaysia di seluruh dunia perlu diberi peluang untuk menyelaraskan semua hal pengundian pilihan raya umum di luar negara.

Menurutnya, ia bagi mengurangkan beban mahasiswa di luar negara agar proses mengundi pos dapat berjalan dengan lancar.

“Meskipun kertas undi harus dikembalikan ke Malaysia, SPR wajib menanggung segala kos logistik menghantar dan memulangkan kertas undi agar ia dapat meringankan beban mahasiswa yang sedang menuntut pelajaran untuk menjalankan hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

“Kami Biro Mahasiswa Muda sangat kesal mendengar keluhan daripada rakyat Malaysia di luar negara, terutamanya mahasiswa bahawa mereka belum menerima kertas undi.

“Kegagalan SPR untuk merancang logistik kertas undi dan kegagalan kedutaan menyediakan kemudahan mengundi adalah satu bentuk diskriminasi terhadap mahasiswa kerana telah mencabul hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan masih ramai pengundi di luar negara ketika ini merungut belum menerima kertas undi pos meskipun hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut kenyataan itu, SPR wajar memberi penjelasan mengapa isu tersebut berlaku sedangkan rakyat dan mahasiswa yang berada di luar negara telah mendaftar serta memohon dengan lebih awal.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pilihan raya, SPR seharusnya mengambil langkah-langkah untuk memudahkan proses pengundian.

“Pastikan juga bahawa semua kertas undi pos tiba kepada pengundi pada masa yang sepatutnya.

“Penerimaan kertas undi pada saat terakhir akan meningkatkan jumlah undi rosak kerana kemungkinan kertas undi tidak akan tiba pada waktu yang sepatutnya.

“Adakah SPR tidak mempunyai pelan susunan logistik walhal persiapan PRU telah lama dibincangkan. Ataupun SPR memandang ringan kepada rakyat hak rakyat Malaysia?” soal beliau.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!