LRT Kelana Jaya dijangka beroperasi lebih awal: PM

Ismail Sabri. - Foto Bernama.
Ismail Sabri. - Foto Bernama.
A
A
A

BERA - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad memaklumkan laluan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dijangka beroperasi dengan selamat lebih awal daripada jangkaan asal 15 November ini.

Beliau berkata setakat ini, semua sistem keselamatan dan sistem kawalan tren automatik (ATC) adalah stabil berdasarkan data pengujian yang dilakukan menggunakan 38 set tren di sepanjang laluan Gombak-Putra Heights.

"Sistem isyarat dan komunikasi sedang diuji dan akan diuji lagi malam ini bagi memastikan LRT itu bersedia untuk beroperasi dengan selamat lebih awal dari 15 Nov,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program bersama penduduk di Kampung Batu Papan di sini pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Pengangkutan telah diarahkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca kejadian menerusi penubuhan jawatankuasa khas.

Katanya, kejadian itu adalah kali kedua berlaku semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan beliau tidak mahu perkara sama berulang kerana ia menyusahkan pangguna pengangkutan awam tersebut.

"Kita akan buat siasatan menyeluruh. Kita tidak mahu perkara ini berulang lagi kerana ia membebankan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula 9 hingga 15 November susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil.

Penggantungan sementara itu selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kini hanya beroperasi dari stesen Gombak ke stesen Damai serta dari stesen Lembah Subang ke stesen Putra Heights. - Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!