PRU15: Pengundi Felda antara penentu kemenangan BN

Shamshulkahar (dua kiri) beramah mesra dengan jentera BN pada Ahad.
Shamshulkahar (dua kiri) beramah mesra dengan jentera BN pada Ahad.
A
A
A

JEMPOL - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli tidak menolak bahawa pengundi di tanah rancangan Felda antara penentu kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, secara tradisinya pengundi Felda sentiasa memberikan sokongan berterusan setiap kali pilihan raya diadakan.

"Kita ada hampir 65 peratus pengundi yang terdiri daripada warga Felda di Parlimen Jempol membabitkan 28 tanah rancangan Felda.

"Jika diikutkan tradisi, setiap tanah rancangan Felda yang majoritinya Melayu adalah pengundi yang akan mengundi parti BN malah sokongan sama turut diberikan oleh pengundi dari kampung tradisi serta pengundi dari pelbagai kaum," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Taman Tuanku Puan Chik, Bahau pada Ahad.

Dalam pada itu, Shamshulkahar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting berkata, memberi tumpuan bagi menyediakan rumah mampu milik antara 10 fokus sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Jempol.

“Bagi saya, fokus untuk menyediakan rumah mampu milik ini merupakan keperluan yang mendesak kerana kita tahu harga rumah agak tinggi dan keperluan ini amat penting terutama kepada generasi baharu.

“Selain itu, saya juga akan memperjuangkan Lebuhraya Seremban - Jempol dan jika direalisasikan boleh memberi pulangan ekonomi kepada penduduk setempat selain mengambil kira menaiktaraf kemudahan infra rakyat seperti sistem pencahayaan dan jalan raya,” katanya.

Sementara itu katanya, kempen berjalan lancar dan ketika ini sudah sampai peringkat berjumpa pengundi secara terbuka di pasar malam, pasar tani serta premis perniagaan di sekitar Jempol termasuk kawasan tumpuan ramai.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah mereka (pengundi) menyatakan sokongan yang positif terhadap BN serta memberi sokongan secara terang-terangan.

"Saya juga melihat momentum kempen berjalan lancar yang turut dibantu parti komponen di sini,” katanya.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!