Rumah 'hilang' berganti baharu, siap atas bantuan Ebit Lew
HULU LANGAT - Selepas hampir setahun, kemajuan pembinaan rumah pusaka berusia 53 tahun milik warga emas, Rohana Mahfuz, 76, akhirnya siap sepenuhnya dan lebih cepat dari jadual asal.
Kisah warga emas itu mendapat perhatian banyak pihak apabila rumah pusaka keluarga Rohana di Batu 18, Kampung Jawa itu hanya tinggal tangga batu akibat banjir besar pada 18 Disember tahun lalu.
Aktivis masyarakat, Ebit Lew, yang bersimpati dengan nasib pesara kerajaan yang tinggal sehelai sepinggang itu kemudiannya membantu Rohana dengan membina sebuah rumah yang baharu di lokasi sama.
Ebit dalam catatan di Facebooknya berkongsi perkembangan pembinaan rumah baharu warga emas terbabit yang siap sepenuhnya selepas proses pembinaan dijalankan hampir setahun.
"Sebak rasa pagi ni. Ziarah Nenek Rohana 76 tahun, rumahnya hanyut banjir cuma tinggal tangga di Hulu Langat. Masa tu satu Malaysia tular kisah nenek ni. Kami bantu bina semula rumah baharu. Hadiahkan rumah baharu untuknya.
"Ini semua dari ALLAH. Menangis nenek tadi ucap terima kasih dan memberi semangat baharu untuknya. Beliau lemah masa tu dan tak kuat. Kini menangis terharu melihat kasih sayang ALLAH padanya.
"Bersungguh-sungguh ajak saya datang bawa keluarga mandi-mandi sungai di belakang rumahnya," katanya.
18 Disember tahun lalu memahat memori hitam buat warga emas terbabit apabila rumah pusaka keluarganya berusia 53 tahun hanyut dilanda banjir besar, di Batu 18, Kampung Jawa di sini.
Rumah itu hanya tinggal tangga batu untuk menjadi ingatan dan kisahnya mendapat perhatian ramai termasuk aktivis masyarakat, Ebit Lew, yang bersimpati dengan nasib pesara kerajaan itu.
Bantuan daripada pelbagai pihak diterima wanita berusia 77 tahun itu membolehkan kerja membina semula rumahnya di tapak sama dimulakan dan sebelum ini dijangka siap pada Januari atau Februari tahun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!