Tan Sri, isteri didakwa dagang amah
KLANG - Pasangan suami isteri bergelar Tan Sri dan Puan Sri dituduh di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga pembantu rumahnya di Kajang, antara Oktober 2012 hingga Mac lalu.
Bagaimanapun, Tan Sri M K Ketheeswaran atau lebih dikenali sebagai Kenneth Eswaran, 58, dan isterinya, Puan Sri Vivienne Ketheeswaran, 63, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan serentak di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama memperdagangkan tiga wanita Indonesia berumur 25, 29 dan 41 dengan niat mengeksploitasi kerja paksa di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Oktober 2012 hingga Mac lalu.
Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan isterinya itu didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2017 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM50,000 setiap tertuduh selain syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sepanjang perbicaraan.
Bagaimanapun, peguam Shah Devan dan Datuk C Vijaya Kumar yang mewakili kedua-kedua tertuduh merayu supaya jumlah jaminan itu dikurangkan.
Roszianayati kemudian membenarkan ikat jamin kekal RM50,000 setiap tertuduh dan turut menetapkan kes itu disebut semula 3 Mei ini.
Pada 29 Mac lalu, tiga wanita Indonesia yang bekerja sebagai amah mendakwa ditumbuk, ditampar dan tidak dibayar gaji oleh pasangan itu yang juga majikan mereka.
Mereka kemudian memanjat pagar banglo untuk melarikan diri dan tindakan itu disedari seorang lelaki yang kebetulan melalui jalan berkenaan sebelum membawa mereka ke Kedutaan Besar Republik Indonesia.
Mereka kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Kajang untuk pemeriksaan doktor, namun hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati ketiga-tiganya tiada kecederaan fizikal, mental atau seksual.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!