PRU15: KJ akui sukar dekati penduduk di perumahan berpagar
SUNGAI BULOH - Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui agak sukar untuk menyantuni pengundi di kawasan perumahan berpagar dan dikawal petugas keselamatan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, jumlah kawasan perumahan yang terlalu banyak menyukarkan lagi proses untuk mendekati penduduk di kawasan itu sepanjang lebih seminggu berkempen.
Katanya, meskipun tidak berkesempatan berjumpa keseluruhan komuniti di Sungai Buloh, beliau bersyukur terdapat persatuan penduduk yang sudi meluangkan masa untuk berdialog bersamanya.
“Terdapat residen komuniti yang menjemput kita dan memberi platform kepada saya (untuk berkempen).
“Walaupun tidak dapat berjumpa dengan semua penduduk di satu kawasan itu, sekurang-kurangnya persatuan penduduk bersama wakil mereka datang untuk mendengar dan berdialog dengan saya,” katanya ketika ditemui pada Program Santai Badminton bersama jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada Ahad.
Bagaimanapun, ujar bekas Menteri Belia dan Sukan itu, kesukaran untuk berkempen dari rumah ke rumah ketika ini masih dapat diatasi melalui penggunaan media sosial.
“Media sosial sangat penting sebab kawasan bandar macam Sungai Buloh ini agak mustahil untuk kita pergi rumah ke rumah.
"Saya masih perlu menonjolkan setiap tawaran kepada penduduk Sungai Buloh dalam media sosial. Ia sangat penting untuk mendekati pengundi di kawasan bandar seperti di sini.
“Terlalu banyak kawasan perumahan (di sini), jadi (kita berkempen) melalui media sosial,” tambahnya.
Untuk rekod, Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertembungan tujuh penjuru.
Pada PRU15 ini, Khairy Jamaluddin yang mewakili BN ditentang oleh Datuk R Ramanan dari Pakatan Harapan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusof (Gerakan Tanah Air) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia).
Dua lagi calon Bebas adalah Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi Parlimen Sungai Buloh disandang oleh R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!