'1.8 juta kg minyak masak cukup jika tiada ketirisan'

Saharuddin (kanan) ketika memeriksa proses pembungkusan minyak masak di Bunian Oil, Dungun pada Ahad.
Saharuddin (kanan) ketika memeriksa proses pembungkusan minyak masak di Bunian Oil, Dungun pada Ahad.
A
A
A

DUNGUN - Sebanyak 1.807 juta kilogram (kg) minyak masak dibekalkan untuk seluruh isi rumah dengan anggaran 1.15 juta penduduk di negeri ini bagi tempoh sebulan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, dengan jumlah tersebut, tiada masalah bekalan tidak mencukupi akan timbul melainkan berlakunya ketirisan ketika proses jual beli atau edaran.

Menurutnya, terdapat 14 kilang pembungkus minyak termasuk Bunian Oil yang baharu sahaja beroperasi di Dungun.

"Setiap kilang pembungkus akan mengeluarkan sebanyak 150,000kg minyak sebulan dan setiap bulan kita hasilkan 1,807 tan metrik atau 1.8 juta kg.

"Jika lihat kepada kouta memang bekalan sudah mencukupi melainkan berlakunya ketirisan.

"Contohnya minyak masak dijual atau diedar untuk rakyat di daerah atau negeri sahaja tetapi kita dapati ada yang sudah merentasi sempadan," katanya ketika hadir merasmikan pembukaan kilang Bunian Oil di sini pada Ahad.

Beliau turut memberi amaran kepada kilang pembungkus supaya tidak menyalahgunakan lesen yang ada dengan membuat edaran kepada pihak tidak sepatutnya.

"Untuk tahun ini masih tiada tangkapan dibuat tetapi beberapa kes dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Jika didapati ada kilang melanggar peraturan, tindakan tegas akan diambil dengan menarik balik kouta pengeluaran minyak masak yang diberikan," katanya.

Saharuddin berkata, sistem edaran diyakini akan lebih bersistematik sebaik skim penstabilan harga minyak masak (COSS) dikuat kuasa bermula Januari 2023.

"Bila COSS diperkenalkan, kilang pembungkus kena daftarkan semua rantaian edaran mereka.

"Setiap kali keluar masuk kita dapat kenal pasti kepada siapa dan ke mana.

"Menerusi sistem ini juga kilang pembungkus dapat membantu peruncit untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan mereka memperoleh bekalan yang diperlukan serta tiada lagi minyak peket dijual dengan harga lebih mahal di kawasan pedalaman atau kampung," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!