LRT laluan Kelana Jaya kembali beroperasi esok
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya akan kembali dibuka sepenuhnya kepada pengguna pada Isnin, bermula jam 6 pagi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengoperasian semula itu juga adalah dua hari lebih awal daripada yang dijangkakan.
Menurutnya, pengguna yang terjejas juga akan diberikan pampasan tiket selama tujuh hari walaupun pemberhentian perkhidmatan selama lima hari.
“Setelah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya, saya kemudiannya memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan kembali dibuka sepenuhnya kepada pengguna mulai esok.
“Kepada pengguna yang terjejas, pampasan tiket selama tujuh hari akan diberikan walaupun pemberhentian perkhidmatan selama lima hari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Ka Siong memaklumkan bahawa sistem isyarat dan komunikasi perkhidmatan itu berada dalam keadaan baik serta dijangka dapat beroperasi semula setelah satu pengujian dengan pemantauan APAD dilakukan.
Jelasnya, ujian tersebut melibatkan sebanyak 24 set tren di sepanjang laluan Putra Heights ke Gombak.
Sementara itu, Ka Siong yang turut meninjau kerja-kerja pengujian tren berkenaan pada Ahad, menyatakan rasa berpuas hati dengan pengujian yang dilakukan pihak terlibat.
“Hari ini saya telah menaiki tren LRT laluan Kelana Jaya untuk meninjau dan menguji keberkesanan sistem dan keselamatan operasi.
"Saya amat berpuas hati dengan analisis ke atas ujian meluas yang dijalankan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!