PRU15: SPR diminta pantau poster gergasi undang bahaya

Aminuddin (tiga dari kiri) menerima t-shirt daripada Irmalini selepas mengadakan pertemuan dengan jentera teknologi maklumat (IT) Puteri UMNO Bahagian Tambun pada Ahad.
Aminuddin (tiga dari kiri) menerima t-shirt daripada Irmalini selepas mengadakan pertemuan dengan jentera teknologi maklumat (IT) Puteri UMNO Bahagian Tambun pada Ahad.
A
A
A

IPOH - BN Perak menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau bahan-bahan kempen termasuk poster gergasi yang mengancam keselamatan orang awam.

Setiausahanya, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, binaan poster yang terlalu besar menggunakan material kayu dan besi dibimbangi tidak kukuh yang boleh mengakibatkan bahan tersebut runtuh lebih-lebih lagi musim monsun ketika ini.

"Kita telah minta pemantau SPR untuk melihat di setiap binaan itu kerana saya nampak ia menggunakan 'scaffolding', untuk memberatkan scaffolding itu letak kayu. Sekarang ini musim hujan, angin pun kuat jadi ada kemungkinan berlaku kayu-kayu ini jatuh dan binaan yang panjang jatuh ke atas jalan raya, itu kekhuatiran saya.

"Saya tak ada nak dengki pun benda itu besar-besar. Saya khuatir benda itu berlaku. Kadang-kadang kesannya bukan kepada parti yang memasang itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera teknologi maklumat (IT) Puteri UMNO Bahagian Tambun di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir sama, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz; calon DUN Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abdul Rahman dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Tambun, Irmalini Amir Hamzah.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Tambun berkata demikian sebagai mengulas mengenai kewujudan poster gergasi yang dipasang di sekitar Parlimen Tambun.

Sementara itu, Pengarah SPR Perak, Mohd Nazri Ismail berkata, saiz poster bukan isu asalkan tertera nama penerbit dan tidak dipasang di lokasi yang membahayakan orang awam.

Menurutnya, poster juga tidak boleh mengandungi sebarang unsur provokasi atau fitnah terhadap individu tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Setiap hari Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya memantau aktiviti dan bahan kempen. Pasukan ini juga dianggotai wakil calon yang bertanding.

"Mana-mana kesalahan akan diberikan notis dan jika tidak ia akan diturunkan oleh wakil calon atau pasukan penguat kuasa," katanya.

Kewujudan beberapa poster gergasi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipasang di beberapa kawasan di sekitar Parlimen Tambun mencuri tumpuan dan tular.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!