PRU15: Awie bantu kempen calon Bebas
BALIK PULAU - Legenda rock tanah air dan pelakon popular, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali Awie turun padang membantu kempen calon bebas di Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad yang menggunakan lambang pokok pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Awie berkata, beliau tampil membantu Sabaruddin yang merupakan Presiden Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga) Malaysia.
Menurutnya, beliau membantu rakannya itu atas dasar sahabat dan yakin Sabaruddin mampu bawa perubahan untuk rakyat di Balik Pulau.
"Saya datang nak bagi semangat kepada Presiden saya dalam Pertubuhan Pertiga jadi saya ke sini untuk beri sokongan moral dan bantu sedikit apa yang mampu.
"Dalam keadaan kemelut politik sekarang kita kena cari calon yang sesuai atau mampu membawa suara rakyat ke Parlimen bukan lagi soal parti dan rakan saya ini adalah individu mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat," katanya ketika ditemui selepas mengadakan jelajah di sekitar Permatang Pasir, di sini pada Ahad.
Selain itu, jentera calon bebas itu turut mengadakan kempen di sekitar Kampung Seronok di Bayan Lepas dan mengadakan majlis ramah mesra makan tengah hari bersama penduduk setempat.
Sementara itu, Awie berharap penduduk Balik Pulau menyokong jentera calon tersebut untuk melihat perubahan bagi Parlimen berkenaan.
Sabaruddin (Bebas) berdepan lima saingan membabitkan penyandang kerusi itu Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan), Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN), Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (Perikatan Nasional); Ahmad Fazli Mohammad (GTA) serta satu lagi calon Bebas, Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!