PRU15: Manifesto Rozabil ambil kira suara anak muda
Rozabil yang mesra dengan panggilan Tok Ben berkata, suara dan pandangan anak muda antara yang diambil kira dalam pembentukkan teras manifestonya.
"Maklum balas daripada penduduk dan pengundi dalam kawasan Arau yang diterima sepanjang kempen semakin baik dan positif.
"Saya sudah memahami kehendak dan keperluan penduduk dalam kawasan Arau ini selepas seminggu berjumpa mereka dengan lebih dekat.
"Anak muda misalnya, mereka tidak mengharapkan pembangunan mendadak tetapi beberapa isu yang menjadi tumpuan mereka berkaitan peluang pekerjaan dan fasiliti-fasiliti khusus untuk mereka," katanya selepas melakukan program tinjauan mesra di Titi Chai pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, Rozabil meminta pengundi untuk memberi peluang kepada calon-calon muka baharu BN yang komited untuk mewujudkan negara bebas rasuah.
Rozabil memberitahu, program-program pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah antara agenda yang mahu diketengahkan calon-calon muda dalam UMNO.
"Calon-calon muda BN seperti saya, perkara seperti ini (program pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah) kita mahu buat dan laksanakan daripada peringkat bawah akar umbi.
"Kita nak integriti menjadi satu budaya di kalangan pemimpin muda agar kami tidak terjerumus dalam hal-hal berkaitan rasuah.
"Saya bersama seluruh barisan pemimpin muda BN ingin mewujudkan Malaysia baharu (bebas rasuah) dan saya akan mulakan misi ini di Parlimen Arau," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!