Taliban larang wanita masuk gim, tempat mandi awam
KABUL - Kumpulan Taliban mengenakan sekatan baharu dengan melarang wanita memasuki gim dan tempat mandi awam beberapa hari selepas melakukan tindakan sama iaitu mengunjungi taman tema.
"Gim ditutup kepada wanita kerana jurulatih mereka adalah lelaki dan beberapa gim bercampur dengan lelaki serta wanita," kata jurucakap bagi Kementerian Pencegahan Maksiat dan Promosi Kebajikan, Mohammad Akif Sadeq Mohajir memberitahu AFP.
Katanya, rumah mandian awam atau 'hammans' yang menyediakan bilik mandi berlainan jantina juga tidak dibenarkan.
"Pada masa ini setiap rumah mempunyai bilik air di dalamnya, jadi ia tidak menjadi masalah kepada wanita," katanya.
Satu klip video tersebar di media sosial menunjukkan sekumpulan wanita merungut mengenai sekatan terbaharu memasuki gim itu.
"Ia adalah gim untuk wanita sahaja dan guru serta pelatih adalah wanita," menurut salah seorang wanita dalam video terbabit
Aktivis berkata, sekatan yang semakin meningkat ke atas wanita adalah satu percubaan untuk menghalang mereka daripada berhimpun bagi menganjurkan penentangan terhadap pemerintahan Taliban. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!