PRU15: Penyokong berkempen langgar undang-undang lalu lintas
KUALA LUMPUR - Polis mengesan terdapat beberapa pelanggaran undang-undang lalu lintas telah berlaku dalam kempen pilihan raya membabitkan sebuah parti politik di Taman Koperasi Polis Fasa 2 di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, satu video tular yang memaparkan beberapa individu didapati telah menunggang skuter elektrik secara berkumpulan.
"Ia telah melanggar Peraturan 42 Kaedah Lalu lintas 1959 (LN166/19596) yang mana penunggang dikehendaki menunggang dalam satu barisan sahaja di atas jalan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Eng Lai berkata, selain itu, turut dikesan tindakan individu yang duduk di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan bahaya.
"Perbuatan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Peraturan 92 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959)," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 15 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap dua buah kenderaan 'buggy' jika didapati tidak memiliki cukai jalan atau kebenaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Hasil siasatan, kita mendapati parti politik yang terlibat dalam kempen itu memiliki permit perjumpaan awam terbuka yang sah daripada Ketua Polis Daerah Sentul dan kempen tersebut berlangsung pada jam 9 pagi tadi," ujarnya.
Eng Lai berkata, Polis Kuala Lumpur menasihati semua parti politik yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen.
"Kita tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!