Sungai Siput, Taiping banjir kilat akibat hujan lebat
IPOH - Hujan lebat berterusan sejak jam 5 petang menyebabkan beberapa kawasan di Sungai Siput dan Taiping dilanda banjir kilat pada Ahad.
Antara kawasan terjejas adalah di Taman Lintang Makmur, Simpang 3 Taman Muhibbah Jaya, Kampung Bahagia dan Taman Kledang Fasa 2 di Sungai Siput.
Manakala di Taiping melibatkan Kampung Batu 2 1/2 Simpang dan Simpang Halt Kampung Sentosa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, laporan kedua-dua kejadian diterima pada jam 8.15 malam dan 9.02 malam.
Menurutnya, pemantauan di lokasi terlibat mendapati, paras air naik mendadak setinggi antara 0.3 hingga 0.6 meter.
Bagaimanapun menurutnya, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini.
"Kejadian berlaku akibat hujan lebat pada sebelah petang.
"Pemantauan banjir yang dilakukan di empat kawasan ini mendapati, terdapat beberapa kawasan telah dinaiki air," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, pemantauan secara berkala terus dilakukan di kawasan terjejas dari semasa ke semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!