Kelab kena terima transformasi Liga-M

Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. Gambar kecil: Pekan
Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. Gambar kecil: Pekan
A
A
A

PENSTRUKTURAN Liga Malaysia (Liga-M) 2023 seperti diumumkan Liga Bola Sepak Malaysia (MLF) pada Julai lalu, merupakan satu keperluan bagi memastikan saingan bola sepak negara terus berkembang tidak hanya dalam tetapi juga luar negara.

Malah menurut pemerhati sukan tanah air, Datuk Pekan Ramli, transformasi dilakukan MFL selaras dengan perubahan bola sepak moden dunia yang lebih berintensiti tinggi dan kompetitif.

“Kelab Liga-M sekarang perlu menerima transformasi dilakukan MFL dengan mengaplikasikan secara berhemah dan bijaksana sesuai dengan perubahan industri bola sepak seluruh dunia.

“Perubahan ini penting supaya pasukan Liga-M tampil lebih dinamik dan peluang kepada pemain tempatan lebih menonjol bersaing dengan pemain import.

“Saya juga tidak nampak tindakan MFL menetapkan format baharu pendaftaran sembilan pemain import diberikan kepada kesemua pasukan Liga Super bermula tahun 2023, satu keputusan merugikan atau menutup peluang kepada pemain tempatan.

“Jika kita teliti para pemain tempatan kita seperti Arif Aiman dan Faisal Halim tetap menyerlah di sebalik kehadiran import dalam pasukan masing-masing. Apa yang penting para pemain tempat perlu bijaksana menggunakan peluang setiap kali diturunkan dalam perlawanan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Petaling Jaya City FC (PJ City) sebelum ini mengumumkan penarikan diri daripada saingan Liga-M 2023 apabila mengakui sukar bersaing di bawah struktur baharu liga musim depan.

Selain menyaksikan kelab dibenarkan menambah pemain import sehingga sembilan pemain dan pasukan yang bersaing perlu mempunyai dua pasukan-pasukan utama dan belia.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Pekan menyambut baik keputusan pasukan menarik diri dari saingan Liga-M 2023, sekiranya tidak mampu mengikuti perubahan yang dilakukan pentadbir bola sepak negara berkenaan.

“Pada saya, sekiranya kelab tidak mampu mengikuti perubahan dilakukan MFL, adalah lebih baik pasukan menarik diri awal supaya tidak memberi kesan kepada operasi.

“Kita tentu tidak mahu masalah seperti pembayaran gaji dan sebagainya timbul di pertengahan saingan liga, sehingga melarat ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Saya tidak nafikan keputusan MFL menstruktur Liga-M 2023 dengan elemen baharu memberi kesan, namun kelab seharusnya melihat perkembangan ini sebagai sebahagian perubahan dalam memastikan kelangsungan saingan liga negara ini dengan melakukan persediaan rapi memodenkan kelab bola sepak masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, Pekan percaya penarikan diri kelab dari saingan liga utama tidak akan mematikan proses pembangunan akar umbi, sebaliknya peluang terbaik memperkasakan struktur asas peringkat bawahan.

“Kita masih ada lagi Liga M3 dan Liga M4, untuk kelab yang tidak mampu bersaing di liga utama berkembang di saingan ini. Jadi pembangunan di peringkat lokal tidak padam begitu sahaja.

“Kelab-kelab ini masih boleh menyumbang kepada pembangunan menerusi saingan Piala FA, dan mungkin suatu masa nanti MFL akan buka untuk saingan Piala Malaysia, jadi komuniti bola sepak perlu positif,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!