Beri Tze Yong lebih masa: Chong Wei
LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei meminta semua pihak tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang akan memulakan cabaran Terbuka Australia bermula Selasa ini.
Sebaliknya bekas pemain nombor satu dunia itu berharap supaya semua pihak terus memberi sokongan penuh dan lebih masa sebelum dia mampu untuk menampilkan prestasi sebenar.
“Untuk saya, Ng Tze Yong kena bagi dia sikit masa lagi dan jangan harapkan dia kalau keluar pergi kejohanan perlu jadi juara.
“Kita perlu faham ketika ini banyak tekanan yang perlu dihadapinya selepas Lee Zii Jia keluar daripada pasukan kebangsaan dan bukan mudah untuk jadi perseorangan lelaki utama dalam BAM.
“Sebab dia (Tze Yong) masih muda umur baru 21 tahun dan kita kena bagi dia masa. Saya percaya kalau kita bagi dia masa yang lebih, dalam tempoh satu atau dua tahun lagi saya yakin pamer aksi yang sebenar,” katanya pada Ahad.
Mengulas mengenai prestasi seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao, Chong Wei mengakui gembira dengan prestasi ditampilkan bekas juara remaja Asia itu pada tahun ini.
Malah Chong Wei berharap keputusan positif diraih Jun Hao menjadi motivasi untuk dia menampilkan aksi yang lebih baik selepas ini.
“Untuk Jun Hao, saya tengok prestasi dia sekarang bertambah baik berbanding sebelum ini. Malah tahun ini kita lihat dia berjaya menang satu kejuaraan di Indonesia.
“Jadi saya harap dia dapat teruskan prestasi cemerlang itu dan jadikan kejuaraan itu sebagai semangat untuk dia raih lebih banyak title selepas ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Jun Hao menamatkan kemarau kejuaraan di pentas antarabangsa apabila muncul juara Indonesia Masters pada Oktober lalu.
Pada perlawanan akhir di Dewan Sports Platinum, Malang tersebut, pemain berusia 23 tahun itu merangkul gelaran Masters Indonesia selepas menumpaskan rakan senegara, Cheam June Wei 9-21, 22-20, 21-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!