Panda simbol diplomasi China
BANYAK negara telah memperkenalkan diplomasi baharu dalam merangka hubungan antarabangsa mereka dengan negara luar.
Diplomasi mempunyai klasifikasi berbeza-beza sama ada melibatkan kebudayaan, Parlimen, ekonomi, awam atau ketenteraan.
Namun, bagaimana pula diplomasi yang dilakukan China?
Bagi negara itu, mereka menggunakan kaedah dinamakan ‘Diplomasi Panda’. Ia sudah lama wujud iaitu sekitar 1940-an.
Sejarah pengambilan haiwan dalam hubungan diplomatik antara negara bermula sejak zaman Mesir kuno. Ada yang mengatakan lebih awal lagi.
Diplomasi ini dianggap penting dan relevan kerana haiwan yang diberi akan dihargai kerana habitat jarang dijumpai, penampilan menarik dan mempunyai sejarah berlainan.
China adalah rumah asal panda, sekali gus mendorong pemerintah negara itu menjadikan ia sebagai simbol dan harta negara. Panda juga diiktiraf sebagai khazanah negara China.
Menurut sejarah, sekitar 1930-an, panda mula dipamerkan di zoo negara Barat apabila diperkenalkan peniaga.
Selepas itu, pihak berkuasa China mengambil keputusan menghentikan eksport haiwan tersebut buat seketika lalu menjadikannya simbol negara.
Ahli sejarah mencatatkan bahawa permulaan diplomasi panda di China ialah pada tahun 1941, selepas berakhirnya Perang China-Jepun Kedua.
Isteri pemimpin China ketika itu, Chiang Kai-shek menghadiahkan sepasang panda kepada Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda terima kasih kerana membantu dalam memerangi Jepun.
Pada tahun 1972, dua bulan selepas lawatan bersejarah Presiden AS, Richard Nixon ke China yang mengakhiri 25 tahun pengasingan dan ketegangan antara Beijing dan Washington, pemerintah China menghantar dua ekor panda sebagai hadiah kepada rakyat Amerika.
Sejak itu, China terus memberikan panda sebagai hadiah kepada negara yang ingin membina hubungan diplomatik dengan mereka.
Bagaimanapun, pada pertengahan 1980-an, China berhenti melakukan perkara itu. Bagi menyesuaikan tradisi dan upacara diplomasi tersebut diteruskan, China menetapkan polisi iaitu menyewa panda kepada kerajaan asing yang mahukannya dengan bayaran.
China juga mengambil inisiatif dengan menghantar panda secara percuma untuk pameran jangka pendek atau dalam rangka kerja penyelidikan dan kerjasama saintifik.
Antaranya, pada 2019, Xi Jinping menghadiahkan dua ekor panda lagi ke Zoo Moscow semasa lawatannya ke Rusia sebagai langkah untuk mendalamkan kepercayaan dan rasa hormat antara kedua-dua negara.
Menjelang permulaan Piala Dunia FIFA di Qatar pada 2022, China memberikan sepasang panda dinamakan Suhail dan Soraya kepada Qatar sebagai simbol hubungan antara kedua-dua negara.
Tidak ketinggalan, Malaysia turut menerima sepasang panda gergasi bernama Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjamkan melalui Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.
Jelas menunjukkan bahawa hubungan diplomasi bukan sahaja boleh dilakukan melalui ekonomi atau ketenteraan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara, malah melalui pemberian panda juga merupakan salah satu cara.
* Nazrin Zulkafli merupakan wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) di Beijing, China.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!