[VIDEO] Warga emas terima Mykad selepas 51 tahun menanti

Harun bersama Mykad yang diterimanya baru-baru ini.
Harun bersama Mykad yang diterimanya baru-baru ini.
A
A
A

SIPITANG - Penantian seorang warga emas selama 51 tahun untuk memiliki kad pengenalan (Mykad) akhirnya berakhir dengan berita gembira apabila menerima dokumen itu dua minggu lalu.

Harun Usim, 63, berkata, selama ini dia hanya bergantung kepada resit perakuan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai dokumen pengenalan diri untuk melakukan sebarang urusan yang memerlukan penggunaan dokumen diri.

Katanya, pelbagai cabaran telah dilaluinya termasuk 16 kali berulang alik dari Long Pasia ke Pekan Sipitang selain terpaksa berjalan kaki selama empat hari untuk ke pejabat JPN Sipitang.

"Ia bermula pada tahun 1974 di pejabat (JPN) di Sipitang, saya tunggu-tunggu tetapi tidak ada sehingga tahun 2000 kakitangan JPN masuk ke Long Pasia, saya mohon lagi tetapi tidak juga dapat.

Kemudian mereka minta saya ke Putrajaya (ibu pejabat JPN) di Kota Kinabalu dan barulah saya sudah boleh mendapatkan Mykad berkenaan. Sepanjang urusan ini saya telah diminta 16 kali untuk penyerahan pelbagai dokumen termasuk sijil nikah, sijil kelahiran, sijil baptis serta sijil tamat sekolah Tahun Enam.

"Malah dulu, saya pernah berjalan kaki dari Long Pasia dan terpaksa bermalam selama empat hari di hutan di Maligan, di Ulu Bole dan Mandulong sehingga menyebabkan saya lewat tiba di pejabat JPN untuk urusan penyerahan dokumen," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Harun berkata, kesukaran untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri itu berpunca daripada daftar lewat kelahiran ketika lahir dulu.

"Saya memang lahir di sini (Long Pasia) pada tahun 1952 tetapi disebabkan lewat daftar kelahiran menyebabkan sukar untuk mendapatkan kad pengenalan ini," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Bercakap mengenai kesukaran untuk berurusan kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri, Harun berkata, dia terpaksa mendapatkan tandatangan daripada JPN untuk resit yang digunakan sebagai pengganti dokumen pengenalan diri.

"Semua urusan memang hanya bergantung kepada resit berkenaan termasuk pemeriksaan pegawai imigresen ketika pergi ke Semenanjung.

"Tetapi ada beberapa urusan saya tidak dapat lepas termasuk permohonan geran tanah dan terpaksa semuanya menggunakan nama anak-anak untuk urusan berkenaan," katanya.

Bapa kepada bekas pemain bola pasukan kebangsaan, Ronny Harun itu mengakui agak kecewa kerana sukar mendapatkan dokumen pengenalan diri selama ini.

"Memang saya kecewa betul, sampai mati pun mungkin tidak dapat bawa IC (kad pengenalan) dan akhirnya pada Rabu lalu, barulah saya terima IC ini di JPN Sipitang.

"Kini saya senang hati kerana sudah tiada keraguan dan saya juga amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mendapatkan kad pengenalan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!