Ronaldo rasa dikhianati, tidak dihormati
PENYERANG sensasi Cristiano Ronaldo mendakwa pengendali Manchester United, Erik Ten Hag cuba memaksanya meninggalkan jagoan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu musim panas ini dan mengkritik kurangnya kemajuan kelab sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan Old Trafford.
Itu luahan kapten Portugal tersebut dalam temu bual selama 90 minit bersama Piers Morgan pada Ahad, selepas perlawanan terakhir Manchester United menentang Fulham di Craven Cottage sebelum liga berhenti rehat enam minggu bagi memberi laluan kepada Piala Dunia 2022 di Qatar.
Ronaldo sebelum ini menjadi subjek spekulasi sama ada dia akan meninggalkan Old Trafford atau sebaliknya semasa jendela perpindahan terbaru selepas terlepas jelajah pramusim United ke Thailand dan Australia atas sebab peribadi sebelum ini.
Selepas permulaan buruk musim ini Ronaldo diturunkan ke bangku simpanan oleh Ten Hag, sebelum dia kemudian enggan masuk sebagai pemain gantian apabila bertindak meninggalkan bangku simpanan pemain semasa kemenangan Manchester United ke atas Tottenham Hotspur bulan lalu.
Untuk rekod ia bukan kali pertama musim ini Ronaldo meninggalkan perlawanan awal dan Ten Hag bertindak balas dengan menyisihkannya daripada skuad pasukan utama untuk satu perlawanan.
Bintang Portugal itu kemudiannya kembali ke skuad, walaupun tidak bermain dalam dua perlawanan terakhir sebelum Piala Dunia apabila Manchester United mendakwa Ronaldo tidak dapat diturunkan kerana sakit.
Bagaimanapun Ronaldo percaya yang dia telah memainkan perlawanan terakhir untuk kelab tersebut, dengan hierarki United sebelum ini menyokong keputusan Ten Hag untuk menggugurkan pemain berusia 37 tahun itu berikutan masalah disiplin sebelum ini.
Ten Hag sebelum ini menyifatkan tindakan Ronaldo telah bercanggah dengan standard dan nilai yang diterapkannya di kelab tersebut, malah pengendali dari Belanda itu memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan sekiranya tingkah laku sama berulang.
Namun apabila ditanya Morgan mengenai hubungannya dengan Ten Hag, yang dilantik musim ini dari Ajax Amsterdam, Ronaldo berkata: "Saya tidak menghormati dia kerana dia tidak menunjukkan rasa hormat kepada saya...
Jika anda tidak menghormati saya, saya tidak akan menghormati anda," katanya.
Kemudian, apabila ditanya Morgan sama ada Manchester United dan Ten Hag telah cuba membuatnya meninggalkan musim panas ini, Ronaldo berkata: "Ya, bukan sahaja jurulatih tetapi dua atau tiga individu lain yang berada di sekitar kelab."
Apabila diasak lebih lanjut, Ronaldo berkata: “Ya, saya rasa dikhianati. Dan saya merasakan bahawa sesetengah mereka tidak mahu saya di sini. Bukan sahaja tahun ini, malah juga tahun lalu.”
Ronaldo kembali semula ke Manchester United pada musim panas lalu, 11 tahun selepas meninggalkan kelab itu untuk ke Real Madrid sebagai pemain termahal dunia, namun kehadirannya gagal membantu pasukan yang mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan paling teruk dan gagal layak ke Liga Juara-Juara.
United telah memecat pengurus Ole Gunnar Solskjaer pertengahan musim, menggantikan bekas rakan sepasukan Ronaldo tersebut dengan jurulatih sementara Ralf Rangnick.
Dalam bahagian lanjut temu bual itu, Ronaldo mengkritik cara kelab tersebut dikendalikan dan mengakui hanya sedikit perkara yang telah berubah di Old Trafford sejak kali pertama berada di kelab berkenaan.
Ronaldo memberitahu Morgan: “Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi sejak Sir Alex Ferguson pergi saya tidak melihat sebarang evolusi dalam kelab, kemajuannya adalah sifar.
"Sebagai contoh, kami mempunyai satu perkara yang menarik iaitu, bagaimana kelab seperti Manchester United selepas memecat Ole membawa, pengarah sukan Ralf Rangnick, yang mana tiada siapa pun yang faham kerana dia bukan jurulatih. Kelab besar seperti Manchester United membawa seorang pengarah sukan? mengejutkan bukan hanya sahaja saya tetapi seluruh dunia, anda tahu?
"Tiada perubahan. Mengejutkan. Saya fikir akan melihat perkara yang berbeza... berbeza, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, teknologi dan infrastruktur. Tetapi malangnya, kita melihat banyak perkara yang biasa saya lihat, ketika saya berumur 20, 21, 23. Jadi, ia amat mengejutkan saya.”
Ronaldo juga mengecam bekas rakan sepasukan di United, Wayne Rooney berikutan kritikan yang diterimanya kerana enggan bermain menentang Tottenham.
Ronaldo berkata: “Saya tidak tahu kenapa dia mengkritik saya dengan teruk...mungkin kerana dia menamatkan kerjayanya dan saya masih bermain di peringkat tinggi. Saya tidak akan mengatakan bahawa saya kelihatan lebih baik daripada dia. Mana yang benar...”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!