Rompak stesen minyak guna pistol mainan
KUBANG PASU - Tiga lelaki melakukan rompakan berkumpulan dipercayai menggunakan pistol mainan di sebuah stesen minyak di Kodiang, pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian 4.15 pagi itu, suspek berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM2,700.
Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 27 tahun berjaya ditahan di sekitar Jitra dan Changlun jam 1 hingga 3 petang pada hari yang sama.
"Dalam kejadian rompakan itu, dua suspek masuk ke dalam stesen minyak dan terus menuju ke arah juru pam dan mengacukan pistol.
“Juru pam berusia lingkungan 20-an itu kemudiannya menyerahkan wang RM2,700 selepas diarahkan oleh suspek.
“Selepas berjaya mengambil wang, mereka terus melarikan diri dengan memecut laju kereta Proton Satria biru yang dipandu oleh seorang lagi rakan suspek yang menunggu di dalam kereta," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.
Rodzi berkata, polis merampas sebuah kereta, tiga unit telefon bimbit dan pakaian yang dipakai oleh suspek untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek berusia itu mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.
"Polis kini mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dan memiliki senjata api disyaki pistol mainan yang digunakan semasa melakukan rompakan tersebut," jelas beliau lagi.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!