Bekas Ahli Kongres Brazil dijel 50 tahun bunuh suami
RIO DE JANEIRO - Sebuah mahkamah Rio de Janeiro pada Ahad menjatuhkan hukuman penjara 50 tahun dan 28 hari ke atas seorang bekas anggota Parlimen atau lebih dkenali sebagai Kongres Brazil, Flordelis dos Santos kerana mengarahkan pembunuhan suaminya pada tahun 2019.
Pihak pendakwa raya mendakwa Dos Santos pada Ogos 2020 kerana mendalangi pembunuhan itu dengan cuba menjadikan kejadian tersebut sebagai rompakan bersenjata.
Suami Dos Santos, 61, iaitu seorang paderi, Anderson do Carmo yang juga lebih muda daripadanya meninggal dunia akibat terkena peluru di rumah mereka di pinggir bandar raya Rio pada Jun 2019 ketika berusia 40an.
Menurut pihak pendakwa raya, motif kejadian itu disyaki untuk mendapatkan kuasa ke atas kewangan pasangan itu.
Dos Santos tidak lagi dilindungi imuniti Parlimen selepas disingkirkan melalui undian hampir sebulat suara pada Ogos 2021.
Bekas anggota kongres wanita itu juga didapati bersalah kerana cuba membunuh suaminya dengan racun sekurang-kurangnya enam kali sebelum ini termasuk pemalsuan dokumen dan penglibatannya dalam kumpulan jenayah bersenjata, menurut aduan Pejabat Pendakwa Raya.
Dos Santos telah dipilih menyertai Kongres Brazil untuk Parti Demokratik Sosial pada tahun 2018.
Dia mengarahkan pembunuhan itu kerana suaminya mengekalkan kawalan ketat terhadap kewangan keluarga, kata mahkamah.
Anak perempuannya, Simone Rodrigues dijatuhi hukuman penjara 31 tahun, empat bulan dan 20 hari dalam cubaan membunuh Do Carmo.
Dua daripada anak Dos Santos yang lain dan seorang cucu perempuan dibebaskan daripada tuduhan membunuh serta cubaan membunuh. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!