PRU15: Noor Azleen berikrar perangi rasuah

Noor Azleen
Noor Azleen
A
A
A

PASIR GUDANG - Calon BN bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berikrar untuk memerangi rasuah sekali gus membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti.

Exco Pemuda UMNO Malaysia itu berkata, rasuah perlu dilihat sebagai amalan yang paling keji dan jijik dalam apa juga aspek kehidupan masyarakat serta tidak sepatutnya menjadi budaya kerana ia akan mengakibatkan kesan amat buruk kepada negara.

"Dalam usaha kita menuju negara maju pada hari ini, sememangnya semua tidak kira bangsa dan lapisan umur perlu bersatu hati untuk memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara.

"Andai kata rasuah itu dibiarkan menjadi norma dalam masyarakat tidak kira kecil atau besar, ia boleh menjadi barah dalam masyarakat seterusnya membawa kepada kemusnahan sebuah tamadun negara bangsa yang kita bina pada hari ini," jelasnya.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk melakukan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) atau ujian kesihatan mental berkait rasuah.

"Secara peribadi tiada masalah dan mengalu-alukannya. Namun paling penting adalah komitmen untuk kita perang dan basmi rasuah yang perlu dilihat jijik dan keji.

"Sama-sama kita beriltizam, mengamalkan pentadbiran secara telus dan integriti, rasuah musuh utama negara," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!