PRU15: Wajar pilih pemimpin ada lapan karakter bangsa
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] - Sidang Deklarasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15): Membina Karakter Bangsa yang digerakkan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Wadah Pencerdasan Umat (Wadah), Sinar Harian dan disokong Rasuah Busters menyeru rakyat memilih pemimpin yang mempunyai lapan karakter bangsa.
Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin berkata, lapan karakter itu adalah berkemampuan, berdaya maju, amanah dan berintegriti, kasih sayang, jujur, berkeadilan, utama rakyat dan berprinsip.
"Pilihan raya sepatutnya menjadi tempat untuk rakyat memilih calon yang berwibawa dan menolak calon yang tidak kompeten serta mementingkan diri sendiri.
"Rakyat perlu memilih pemimpin yang mempunyai lapan karakter bangsa bagi mengubah keadaan negara ke arah yang lebih baik," katanya pada program Sidang Deklarasi PRU15: Membina Karakter Bangsa di Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pasukan Rasuah Busters merangkap Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Sempena program berkenaan, Badlishah bersama tujuh tokoh masyarakat, ilmuan dan anak muda menyampaikan pidato dan deklarasi nilai karakter bangsa itu setiap satu sebelum kesemuanya turut membaca ikrar deklarasi PRU15.
Mereka ialah Presiden Wadah, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif ARBA Foundation, Azlan Shah Nabees Khan; Timbalan Presiden Wadah, Hasri Harun dan Ketua Wanita Ikram, Sallawahiu Mohd Salleh.
Turut serta, Exco Wadah, Zamri Zainal Abidin; Ketua Penerangan Ikram Muda, Usaid Ismadi dan Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Fazril Mohd Saleh.
Memperincikan perkara itu, Badlishah memaklumkan, dari segi karakter pertama iaitu kemampuan, pemimpin perlu memiliki sifat itu kerana ia akan memberikannya kredibiliti dan kewibawaan untuk memimpin rakyat serta negara menuju kesejahteraan.
Menurutnya, kedua, pemimpin perlu berdaya maju kerana mereka yang memiliki sifat itu akan menjana kemakmuran melalui pembangunan modal insan, memperkasakan pendidikan rakyat dan mengembangkan potensi serta meningkatkan kemahiran rakyat dalam pelbagai sektor.
"Amanah dan berintegriti merupakan karakter ketiga. Pemimpin yang ada nilai ini akan memelihara dan menjaga harta, kehormatan diri, hak rakyat, agama serta negara dengan penuh tanggungjawab, bahkan dapat memerangi korupsi, rasuah dan penyelewengan dana negara.
"Dari sudut kasih sayang pula, pemimpin yang mempunyai nilai ini akan mengasuh rakyat dengan nilai kehidupan yang mulia, nilai kemanusiaan yang universal serta menerapkannya dalam kehidupan mereka," kata beliau.
Mengulas mengenai karakter jujur, Badlishah menegaskan pemimpin yang jujur akan mencipta ketelusan, memupuk akauntabiliti, menonjolkan integriti, mengangkat kehormatan, membina kepercayaan dan kredibiliti yang menjadi asas kepimpinan untuk memacu kemajuan negara.
Tambah beliau, jika pemimpin mempunyai sifat berkeadilan, mereka akan menyantuni rakyat dengan keadilan dalam semua keadaan seterusnya menjadikan kehidupan rakyat aman dan sejahtera serta memiliki kedudukan yang setara.
"Pemimpin yang mengutamakan agenda rakyat akan sentiasa prihatin dengan situasi rakyat dan berusaha meningkatkan kualiti kehidupan mereka dalam pelbagai aspek seperti kebajikan, pendidikan, ekonomi, pekerjaan dan sosial, tanpa mengira kaum, agama dan status.
"Selain itu, pemimpin yang berprinsip tidak akan menggadaikan pegangan dan moralnya semata-mata untuk mendapatkan habuan dunia, teguh pendirian dan tidak mudah goyah dengan pelbagai tawaran demi mendapatkan kuasa," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!