[VIDEO] PRU15: Bahan kempen dirosakkan, PH lapor polis
JOHOR BAHRU - Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membakar dan merosakkan sepanduk serta bendera Pakatan Harapan (PH) di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini tidak sekali-kali akan melemahkan semangat calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Calon PH bagi kerusi Perlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ini termasuk perbuatan pihak lawan sengaja meletakkan billboard mereka bersebelahan billboard calon PH yang dilakukan pada Ahad.
"Kita telah laporkan kepada pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan terpulanglah kepada mereka untuk mengambil tindakan yang adil. Billboard BN yang diletakkan itu merosakkan struktur billboard Harapan," katanya dalam Facebook miliknya, pada Isnin.
Billboard milik parti lawan tersebut diletakkan bersebelahan billboard PH di hadapan sebuah sekolah dipercayai di sini pada Ahad dan foto billboard 'kembar' berkenaan tular dalam media sosial, sejak petang Ahad.
Akmal Nasrullah beranggapan, cara berkempen seperti itu cuba dilakukan seperti di Parlimen Tambun, Perak yang melibatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
"Kita tidak halang mereka hendak berseloka ala kempen (Datuk Seri Ahmad) Faizal Azumu, tapi janganlah menjahanamkan billboard kami.
"Nak tarik perhatian gaya Peja 2.0, tapi perbuatan khianat ini terpaksa kami tampung bebannya," katanya.
Susulan itu kata Akmal, pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan selanjutnya.
Pengarah strategi PKR itu kesal dan kecewa tindakan penyokong lawan yang bertindak merosakkan bahan-bahan kempen PH.
Bagaimanapun katanya, PH akan terus berkempen bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu.
Mereka ingat dengan merosakkan bahan kempen mahupun serangan dalam sosial media akan melemahkan kami, jangkaan mereka pasti meleset.
"Jangan terpalit dengan cara jahat mereka. Kita akan tetap dengan tumpuan kepada isu-isu rakyat dan menyantuni pengundi secara ‘personal touch’," katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Johor Bahru.
Tambah beliau, pihaknya kekal dengan 'track record' yang terbaik, fokus isu yang penting untuk pengundi terutamanya berkaitan ekonomi rakyat, kos sara hidup, perumahan, anak muda dan melawan rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!