PRU15: Poster calon BN Kuala Terengganu diconteng
KUALA TERENGGANU - Enam poster calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong dikesan diconteng oleh individu tidak bertanggungjawab pada Isnin.
Kejadian melibatkan poster yang ditampal di sekitar bilik gerakan MCA, Kampung Cina di sini itu disedari petugas bilik gerakan tersebut kira-kira jam 9 pagi.
Ketua Wanita MCA Terengganu, Ng Phei Jin berkata, beliau bergegas ke lokasi sebaik saja menerima maklumat itu dan terkejut melihat poster terbabit rosak akibat diconteng.
Menurutnya, beliau meminta kerjasama pemilik premis berhampiran untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan seorang lelaki kira-kira jam 3.30 pagi Isnin.
Melalui CCTV, seorang lelaki memakai topi merah dan baju berlengan panjang dilihat berkeliaran di sekitar bilik gerakan.
"Dia membawa marker pen dan meninjau keadaan sekeliling sebelum menconteng enam poster calon tersebut," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Phei Jin berkata, semua poster tersebut dipasang sejak tiga hari lalu sempena pelancaran markas BN di Kampung Cina.
Berikut kejadian itu katanya, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat selepas mendapat rakaman CCTV dari kedai berdekatan bilik gerakan.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Parlimen Kuala Terengganu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohd Zubir, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Amzad Hashim, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Pakatan Harapan) serta Mohamad Abu Bakar Muda dari Parti Pejuang Tanah Air (GTA-Pejuang).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!