'Dulu tak suka, kini jadi kerjaya'
KOTA BHARU - Jika sebelum ini membuat kek dianggap remeh dan sukar, namun kini, Aiman Ahmad Farid, 33, sudah memiliki kedai kek yang menyediakan pelbagai jenis pencuci mulut menyelerakan.
Aiman berkata, pandemik Covid-19 mengubah hidupnya sehingga merancang masa depan membina kerjaya melalui kedai kek dan membuka cawangan baharu.
"Saya memang tak suka sukat bahan-bahan membuat kek kerana renyah selain mengambil masa lama untuk disediakan," katanya.
Berkongsi bagaimana dia mula berjinak dalam bidang berkenaan Aiman berkata, anak sulungnya, Umar Yazid yang ketika itu berusia empat tahun didiagnos menghidap penyakit autoimun beberapa bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Menurutnya, keadaan itu menjadi lebih sukar dalam tempoh PKP kerana memerlukan kos untuk rawatan sedangkan negara 'berperang' dengan Covid-19.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia dan isteri, Nur Eizzati Mohamad, 29, terpaksa tinggal bersama mentua kerana tidak dapat pulang ke kampung di Kelantan akibat PKP.
"Kami mengambil keputusan menjual set makanan tengah hari di hadapan rumah mentua sebagai usaha mencari rezeki.
"Pada masa sama, Nur Eizzati yang meminati bidang bakeri membuat kek yang ditempah pelanggan secara kecil-kecilan untuk menampung keperluan hidup kami," ujarnya.
Kata Aiman, lebih menguatkan keinginannya untuk membantu apabila isteri yang sarat mengandung mula putus asa selepas resipi 'Japanese cheese cake' yang dibuat tidak menjadi.
Aiman mula belajar daripada isterinya daripada langkah pertama menyukat bahan sehingga kek masak.
Mengakui sukar untuk menerima tempahan tetapi berusaha dengan peralatan serba kekurangan milik isteri yang memang meminati bidang bakeri.
"Itulah kek pertama yang saya buat. Saya hanya menggunakan pengadun isteri yang sudah berusia 23 tahun tetapi alhamdulillah 20 biji dapat disiapkan mengikut tempahan pelanggan," katanya.
Mereka juga bersyukur kerana terpilih menerima bantuan SSM sebanyak RM3,000 yang dapat menampung kos membeli keperluan membuat kek.
"Alhamdulillah wang itu kami manfaatkan sebaik mungkin sehingga mencapai keuntungan RM10,000 dalam tempoh tiga bulan.
Justeru, dia tidak menoleh ke belakang dan mengambil keputusan pulang ke Kelantan untuk membuka kedai kek yang dinamakan MrMamaHub di Jalan Pintu Geng dekat sini.
Bapa kepada tiga anak itu kini mampu membuat pelbagai jenis kek termasuk kek moden seperti kek tapak kuda dan dia kini boleh berbangga kerana keenakan serta dekorasi keknya turut diiktiraf kerabat diraja Kelantan yang pernah membuat tempahan.
Bakat memasak yang ada turut dimanfaatkan dengan menambah menu kuih tradisional iaitu pelbagai jenis kuih seri muka dan kuih talam.
"Saya memang suka memasak dan lebih berpuas hati jika pelanggan gembira menikmati air tangannya," katanya.
Tambah Aiman, walaupun tidak belajar secara rasmi dalam bidang bakeri tetapi dia berusaha membuat kek mengikut perubahan semasa termasuk hiasan.
"Harganya juga bergantung kepada jenis dan dekorasi yang dijual bermula RM85 manakala yang ditempah pula bergantung kepada bahan dan pilihan pelanggan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!