LBS Foundation sumbang RM80,000 biasiswa Genovasi
SHAH ALAM - LBS Bina Group Berhad (LBS) menubuhkan Dana Biasiswa Genovasi bagi membantu pelajar-pelajar dari keluarga susah dan tidak berkemampuan menyambung pelajaran.
Biasiswa dengan kerjasama Kolej Universiti Genovasi itu membuka peluang lebih luas dalam sistem pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San yang merupakan Lembaga Pemegang Amanah LBS Foundation, berkata, LBS akan terus kekal komited dalam usaha membantu golongan yang memerlukan sepertimana pesanan yang ditinggalkan pengasas LBS, mendiang Datuk Seri Lim Bock Seng.
Katanya, pelaburan dalam mendapatkan ilmu pengetahuan merupakan pelaburan yang terbaik dengan faedah jangka panjang, dan ianya merupakan pegangan yang sentiasa tersemat di dalam menjalani kehidupan.
“Saya yakin bahawa pendidikan adalah komponen penting yang mendorong kepada impak positif secara keseluruhannya, di samping membantu memperkukuhkan wawasan serta menyumbang kepada imej LBS seperti hari ini.
“Saya amat berbesar hati kerana dilantik sebagai ‘felo’ serta menjadi sebahagian daripada matlamat yang sangat bermakna ini menerusi institut pendidikan, Kolej Universiti Genovasi.
“Langkah dan matlamat ini dapat memberi peluang kepada pelajar yang kurang bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran. LBS berharap lebih banyak organisasi serta badan-badan korporat dapat tampil untuk menjadi sebahagian daripada pencapaian yang bermakna ini.”katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
LBS Foundation telah memberikan sumbangan sebanyak RM80,000 kepada Dana Biasiswa Genovasi. Dana ini akan digunakan bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian tinggi mereka.
Sementara itu, Presiden Kolej Universiti Genovasi, Profesor Dr James Nga, berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif yang dilakukan LBS itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Lim Hock San dan LBS Foundation di atas sumbangan ini. Kami berharap lebih banyak konglomerat tempatan untuk tampil memberi kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan tinggi tempatan bagi membantu misi dan matlamat kolej.
“Sumbangan ini menjadi bukti kepada permulaan kerjasama di antara LBS Foundation dan Kolej Universiti Genovasi di samping membuka peluang yang lebih luas dalam pendidikan kepada semua lapisan masyarakat,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!