'Semua 25 calon GRS-BN layak jadi TPM'

Abdul Rahman ketika ditemui pemberita selepas program pertemuan bersama JPKK DUN Kadamaian, Kampung Malangkap, Kota Belud.
Abdul Rahman ketika ditemui pemberita selepas program pertemuan bersama JPKK DUN Kadamaian, Kampung Malangkap, Kota Belud.
A
A
A
KOTA BELUD - Kesemua 25 calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) layak untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM), kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Bagaimanapun, menurut calon BN Parlimen Kota Belud itu tidak semestinya jawatan terpenting itu akan menjadi miliknya kerana ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti.

"Akan ada peluang untuk semua orang kerana tawaran itu dilakukan oleh Presiden saya (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Jika kita menang akan ada seorang TPM dari Sabah.



"Bukan hanya saya tetapi 25 calon GRS-BN dan semuanya berkelayakan untuk menjadi TPM. Jadi saya tidak katakan ia adalah kepunyaan saya, saya serahkan kepada kepimpinan untuk putuskan. Apa yang pasti rakyat Kota Belud akan dihargai jika calon TPM dari Kota Belud," katanya kepada pemberita selepas program pertemuan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Kampung Malangkap pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mengatakan Abdul Rahman layak menjadi TPM baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau mengakui memang ada perbincangan antara GRS-BN mengenai pemilihan calon TPM dari Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata, lebih baik selesaikan terlebih dahulu Pilihan Raya Umum (PRU) barulah didedahkan hasil perbincangan mengenai perkara itu.

"Ada (perbincangan GRS-BN) tetapi kita mahu pilihan raya ini berakhir dulu, sebab tidak elok jika saya dedahkan hasil perbincangan dengan GRS.

"Tetapi yang pasti dan kita akan lihat sebab kita mempunyai peluang yang sama rata untuk menjadi TPM," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menafikan kedudukan BN di Sabah tergugat berikutan tindakan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Artikel Berkaitan:


"Anifah adalah kawan saya dan dia bukan pemimpin UMNO. Apa yang dia lakukan tiada kaitan dengan kita dan kedua, ramai pemimpin tinggalkan UMNO pada 2019 dan kita telah susun semula kekuatan kita. Jadi tidak kira apa, UMNO akan terus ke hadapan.

"Walaupun begitu, saya hargai apa yang Anifah buat tetapi itu adalah keputusan peribadinya, ini demokrasi dan saya percaya UMNO akan terus lebih kukuh dari sehari ke sehari," katanya.

caption

1. Abdul Rahman ketika ditemui pemberita selepas program pertemuan bersama JPKK DUN Kadamaian, Kampung Malangkap, Kota Belud.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!