PRU15: 'Godzilla' lawan Anwar di Tambun
IPOH - Kreativiti parti-parti bertanding dalam berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) khususnya di kerusi Parlimen Tambun nyata mencuri tumpuan.
Terbaharu, poster seekor raksasa dengan tulisan tertera 'ingatkan Godzilla, chor #AyorBukanAyaq' yang dipasang di Jalan Tambun, di sini turut menarik perhatian pengguna jalan raya.
Poster tersebut dipercayai menyindir poster gergasi yang dipasang tertera gambar calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim di beberapa lokasi di sekitar Parlimen berkenaan.
Malah, di Jalan Tambun menghala ke Pusat Bandar raya Ipoh juga dipasang iklan yang tertera perkataan size does not matter (saiz bukan penting).
Pemasangan poster yang menyindir itu bukanlah pertama kali apabila sebelum ini poster Ayor Bukan Ayaq yang merupakan slogan diperkenalkan calon Perikatan Nasional (PN) Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam respon mengenai poster gergasi yang dipasang Anwar, Ahmad Faizal menyatakan dirinya tidak memerlukan bantuan bahan kempen seperti itu kerana penduduk Tambun sudah mengenalinya.
Jelasnya, usaha seperti itu diperlukan oleh Anwar untuk memperkenalkan diri kerana pemimpin itu bukan orang tempatan.
Sementara, calon BN bagi kerusi Parlimen Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah menzahirkan kebimbangan terhadap perang poster gergasi berkenaan boleh membahayakan orang awam.
Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau kewujudan poster-poster gergasi berkenaan kerana dikhuatiri berisiko untuk jatuh atau tumbang memandangkan ketika ini musim hujan berserta angin kuat.
Pengarah SPR Perak, Mohd Nazri Ismail yang memberi maklum balas mengenai perkara tersebut pada Ahad memaklumkan, saiz poster bukan isu asalkan tertera nama penerbit dan tidak dipasang di lokasi yang membahayakan orang awam.
Menurutnya, setiap hari Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya memantau aktiviti dan bahan-bahan kempen yang digunakan calon bertanding.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!