Oseanografi UMT bantu cari kanak-kanak dikhuatiri lemas
KEMAMAN - Khidmat pakar Oseanografi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat kanak- kanak berusia 11 tahun yang dikhuatiri lemas dalam kejadian di Sungai Kuala Kemaman, berhampiran Pantai Marina pada jumaat.
Misi pencarian Mohamad Aiman Asyraf Shahrulzaman yang juga murid Sekolah kebangsaan (SK) Chukai masih gagal walaupun sudah masuk hari keempat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, pergerakan air yang sentiasa berubah dan sukar diramal menyukarkan pasukan penyelamat mengenal pasti kedudukan mangsa.
Menurutnya, khidmat pakar oseonografi mungkin boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut dan melancarkan operasi.
"Perbincangan telah dibuat dengan pakar UMT untuk kita gerakkan pasukan oseonografi sebab kita tak tahu pergerakan air.
"Ada arus masuk dan keluar dengan pertembungan air laut serta sungai di muara sungai ini.
"Mungkin pakar dapat menentukan kedudukan mangsa bagi memudahkan usaha pencarian," katanya selepas melakukan tinjauan operasi mencari dan menyelamat pada Ahad.
Md Hilman berkata, operasi membabitkan pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia diperluaskan sehingga ke Pantai Cherating, Kuantan, Pahang.
"Apa yang kita khuatir jika mangsa berada di dasar muara sungai kerana kita percaya kawasan ini terdapat pasir jerlus dan ia menyukarkan proses pencarian.
"Orang ramai juga dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti berhampiran pantai dan sungai ketika monsun timut laut.
"Ini bukan masa untuk beriadah, berkelah dan mandi sungai atau pantai kerana cuaca buruk dan laut gelora," jelas beliau.
Sewaktu kejadian kira-kira jam 3.00 petang, mangsa dikhuatir lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama dua rakannya yang berusia 12 dan 9 tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!