PRU15: Tuntut penjelasan tangguh bina rumah TLDM di Sepanggar
KOTA KINABALU - Calon Parti Warisan (Warisan) Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman mahu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi penjelasan segera berhubung penangguhan pembinaan 1,036 unit rumah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar yang tertangguh sejak 2014.
Beliau memaklumkan pihaknya baharu mendapat makluman berkaitan isu kekurangan kuarters TLDM Sepanggar yang merupakan antara janji tidak ditunaikan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurutnya, anggota TLDM di Sepanggar kini terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi untuk mencari kediaman dan menyebabkan mereka menetap jauh dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar
"Ada dalam kalangan mereka tinggal di Tuaran, Inanam dan kawasan perumahan Sepanggar. Sekiranya ada berlaku sebarang kecemasan serta memerlukan mereka datang segera ke Pangkalan, perkara ini mungkin akan mendatangkan masalah besar.
"Saya difahamkan proses pemilihan lokasi dicadangkan oleh pihak TLDM Sepanggar tidak dipersetujui pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ingin menyokong syarikat kroni mereka sendiri.
"Sudah tentu kebajikan anggota tentera kini telah diabaikan manakala keselamatan keluarga yang ditinggalkan ketika bertugas di tengah laut tidak akan terjamin, berikutan memikirkan masalah keluarga mereka di rumah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Azis yang juga Ketua Penerangan Warisan berkata, jika beliau diberi mandat untuk mengekalkan Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) isu itu akan dibawa ke sidang Parlimen akan datang.
"Menteri Pertahanan perlu maklum, isu ini kini sudah berlarutan lebih 10 tahun, sepatutnya masalah ini sudah diselesaikan bagi membolehkan anggota tentera dapat memberi tumpuan kepada tugas menjaga keselamatan perairan negara,"jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!