Pastikan kandungan disiarkan senonoh: Aisar Khaled

Aisar Khaled - Foto Sinar Harian
Aisar Khaled - Foto Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Pempengaruh diingat memanfaatkan platform media sosial dengan baik dan jangan sesekali memuat naik kandungan yang tidak senonoh kerana ia memberi implikasi besar kepada masyarakat.

Pempengaruh media sosial, Aisar Khaled berkata, sebagai seorang yang berpengaruh, bahan yang mahu ditonjolkan kepada umum bukan sahaja perlu dipastikan mempunyai kandungan baik malah tidak melibatkan mana-mana individu lain.

Katanya, perbuatan membabitkan individu lain terutama menjurus ke arah keburukan akan menimbulkan hubungan tidak baik bukan sahaja antara pempengaruh dan individu terbabit tetapi ia akan mengeruhkan lagi situasi semasa.

Jelasnya, pempengaruh seharusnya seorang yang sangat peka terhadap sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan budaya sesuatu masyarakat.

"Sesiapa yang baru hendak membuat content (kandungan) dalam media sosial, anda dipersilakan kerana paltform media sosial ini sangat besar.

"Kita juga boleh buat duit dengan media sosial. Tidak kisah berapa banyak yang awak hendak buat tetapi pastikan kandungan yang hendak disiarkan itu senonoh kerana ramai yang akan melihatnya.

"Sekiranya content kita itu kelakar, menjurus kepada kerja kebajikan atau sebagainya, pastikan ia tidak melibatkan mana-mana individu dalam perkara yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk 'Demi Content, Drama Lebih?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Rancangan tersebut dihoskan oleh Sam Ghani.

Aisar berkata, ramai anak muda pada masa ini pandai hendak mencari duit sendiri dan menjadikan media sosial sebagai platform menjana pendapatan.

Menurutnya, bukan sahaja tidak berminat untuk bekerja dengan orang, anak muda mahu sebuah kebebasan dalam menjana pendapatan.

Melihat kepada kelebihan yang ada pada media sosial, katanya, kesempatan yang terhidang itu digunakan sebaiknya untuk menjana pendapatan apabila banyak pihak yang berniaga di dalam platform tersebut masa kini.

Ditanya mengenai persaingan, Aisar berkata, persaingan sememangnya ada di mana-mana dan tidak pernah habis terutama di dalam media sosial yang semakin mendapat tempat di seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Katanya, ramai pemain baharu yang bergelar pempengaruh dan mempunyai bilangan pengikut yang ramai.

"Setiap orang mempunyai peminat dan viewers masing-masing. Jadi tidak perlu pun hendak berdengki dengan sesiapa, cuma nikmati rezeki masing-masing menerusi kandungan yang diinginkan kerana setiap orang mempunyai selera tersendiri," katanya.

Bagi memantapkan kandungan media sosialnya, Aisar berkata, dia sering berbincang dengan rakan sepasukan selain melihat penghasilan video individu lain termasuk dari luar negara.

Apa yang penting katanya, bahan kandungan yang mahu dihasilkan mestilah positif dan memberi manfaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!