Minyak sawit diunjur didagangkan RM3,800-RM4,200 satu tan
MINYAK sawit Malaysia diunjurkan didagangkan di antara RM3,800 dengan RM4,200 satu tan bagi tempoh sehingga suku kedua 2023 susulan pengeluaran minyak sawit dijangkakan pulih sedikit tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Wan Aishah Wan Hamid berkata, permintaan lebih tinggi terhadap minyak sawit, turun naik harga minyak mentah Brent dan ketegangan geopolitik kekal sebagai faktor dalam menentukan arah pergerakan harga.
Beliau berkata, sejak beberapa minggu lepas, harga minyak sawit mula dilihat berada dalam aliran menaik berikutan ringgit Malaysia yang lebih lemah dan kebimbangan berhubung bekalan akibat banjir di Indonesia dan Malaysia.
Ini akan memastikan harga minyak sawit kekal tinggi dan bertahan di antara RM4,000 dengan RM4,400 satu tan sehingga Disember 2022, katanya.
"Bagi jangka sederhana, krisis Rusia dan Ukraine yang berterusan akan tetap menjadi satu faktor dan pertumbuhan bekalan minyak sawit berkemungkinan mendatar tinggi tahun depan.
"Harga berkemungkinan kekal di antara RM3,900 dengan RM4,300 satu tan sehingga Mac 2023,” katanya semasa pembentangan di Seminar Internet Minyak Sawit (POINTERS) pada Isnin.
Dari segi stok minyak sawit, Wan Aishah berkata, stok minyak sawit Malaysia berada dalam aliran berkurangan dari Disember 2021 hingga April 2022 menyebabkan harga lebih tinggi direkodkan kerana paras stok mempunyai hubungan songsang dengan harga.
Beliau berkata bagaimanapun, sejak Mei 2022, paras stok telah meningkat dan harga pula susut.
Pada September 2022, stok minyak sawit tempatan melebihi 2.3 juta tan, paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan dan harga minyak sawit terus susut kepada paras terendah sejak Jun 2021, katanya.
Sementara itu, pengeluaran minyak sawit tempatan dijangka berkurangan bagi tahun ketiga pada 2022 kerana kekurangan pekerja di ladang terus menjejaskan penuaian di negara ini.
MPOC mengunjurkan pengeluaran MSM di Malaysia pada 2022 mencecah 18.08 juta tan.
Beliau berkata namun, sebagai pengeluar terbesar dunia, Indonesia akan mencatatkan sedikit peningkatan pengeluaran minyak sawit disumbangkan terutama oleh kawasan tanaman kelapa sawit yang baru matang.
Pengeluaran minyak sawit di Indonesia dinjurkan mencapai 46.6 juta tan.
"Musim hujan ketika ini dijangka mengakibatkan banjir yang akan mengurangkan lagi pengeluaran di kedua-dua negara,” katanya.
Wan Aishah berkata unjuran pengeluaran minyak sawit global pada 2022 ialah 77.2 juta tan manakala penggunaan pada 76.8 juta tan.
Minyak sawit masih akan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dunia dalam bekalan minyak dan lemak, katanya.
POINTERS, seminar menerusi web anjuran MPOC, mengetengahkan tema ‘Mitigating The Next Wave Of Market Uncertainties’ (Meredakan Gelombang Ketidaktentuan Pasaran Akan Datang) bagi edisi kali ini.
Sebanyak lapan pembentangan akan dilakukan merangkumi topik antaranya kepentingan minyak sawit dalam situasi minyak makan yang tidak menentu, prestasi industri minyak sawit, pendekatan untuk mengatasi cabaran minyak sawit global serta hab minyak sawit untuk Afrika Timur.
Seminar empat hari itu berakhir pada 18 November 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!